UEFA Sahkan Musim Ini Mungkin Dibatalkan Terus

Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Caferin berkata semua liga bola sepak di benua itu mungkin akan terus dibatalkan sekiranya ia tidak dapat disambung semula pada penghujung bulan Jun.

Kebanyakan liga bola sepak di Eropah ketika ini sedang digantung disebabkan pandemik wabak coronavirus (COVID-19) dengan kejohanan Euro 2020 yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan tahun ini juga telah pun ditangguh ke tahun hadapan.

Caferin dalam kenyataannya kepada akhbar Itali, La Repubblica menjelaskan pihaknya mempunyai beberapa pilihan sekiranya mahu meneruskan juga saingan liga musim ini.

“Memang ada perancangan A, B dan C. Tiga pilihan ini adalah untuk menyambung semula pertandingann pada pertengahan Mei, Jun ataupun selewat-lewatnya penghujung Jun. Jika tidak dapat juga, musim ini mungkin terpaksa dibatalkan,” katanya.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Slovenia itu menambah ada juga kebarangkalian untuk menyambung semula liga pada permulaan musim depan, bagaimanapun pihaknya akan cuba mencari penyelesaian terbaik untuk semua liga dan pasukan.

Caferin menegaskan keutamaan kini adalah untuk semua liga domestik dapat ditamatkan sekalipun ia terpaksa dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.

“Memang sukar untuk saya bayangkan semua perlawanan berlangsung di stadium yang kosong, tetapi kita tidak tahu bilakah krisis ini akan berakhir dan bila kita boleh sambung bermain semula.

“Sekiranya tiada alternatif lain, mungkin lebih baik kita tamatkan sahaja semua kejohanan. Malah saya juga tidak fikir perlawanan akhir kejohanan kelab Eropah (Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa) bakal berlangsung tanpa kehadiran penyokong.”

Caferin juga berkata, keputusan pihaknya untuk menangguhkan Euro 2020 ke tahun depan membuktikan UEFA prihatin dengan kesusahan dan kekangan yang dihadapi oleh semua kelab.

Leave a Reply