Sukar untuk menjadi pemain bola sepak bernama Loris Karius ketika ini.
Beliau kini menjadi subjek kepada serangan buli siber di media sosial sehinggakan Iker Casillas dan Mohamed Salah tampil mempertahankan beliau.
Kini Karius telah mula untuk menimbangkan untuk pergi meninggalkan Liverpool selepas kelab tersebut mendapatkan penjaga gol Brazil – Alisson Becker.
Karius dikatakan kecewa dengan keputusan Jurgen Klopp yang membawa masuk Alisson.
Malah turut diakui, Klopp bakal menjadikan Alisson sebagai penjaga gol utama Liverpool sekali gus menggelapkan masa depan Karius dan juga Simon Mignolet sebagai penjaga gol kelab itu.
“Sememangnya situasi ini tidak baik untuk saya. Tetapi saya tak boleh nak berkata lebih mengenainya ketika ini.”
Karius mengakui tidak mengetahui perancangan Klopp untuk membawa masuk Alisson sebagai penjaga gol baharu kelab.
“Saya tak tahu mengenai itu, saya tak boleh katakan apa yang saya buat sekarang ini.”
“Masih lagi ada masa yang tinggal (dalam jendela perpindahan ini).”
Karius mengalami sesi pra-musim yang tidak begitu baik setakat ini buat dirinya membuatkan kritikan pedas yang diterima beliau sejak perlawanan akhir UEFA Champions League masih berterusan.
Kesilapan mudah demi kesilapan mudah yang dilakukan beliau dari siri perlawanan persahabatan di England hinggalah ketika aksi menentang Borussia Dortmund tempoh hari.
Setakat ini belum lagi ada khabar angin yang mengaitkan Karius dengan mana-mana kelab.