Raul Longhi terus memberikan penilaian beliau tentang kekalahan JDT 0-3 di tangan Pahang dalam saingan suku akhir Piala FA 2018. Patrick Cruz ledak hatrik untuk memastikan Pahang teruskan kempen Piala FA mereka.
Raul Longhi menganggap pasukan JDT masih pincang terutama sekali kehilangan Diaz dan Figueroa. JDT terpaksa beraksi dengan pemain yang sedia ada menunggu jendela perpindahan.
Kesilapan pertahanan dalam melepaskan gol kedua membuatkan segala-galanya berakhir untuk JDT. Ini kerana, pada kedudukan 0-2, JDT perlu mencari 3 gol.
“Kami semua sedia maklum bahawa kami mempunyai masalah di bahagian hadapan sejak kehilangan Jorge Pereyra Diaz dan ketiadaan Luciano Figueroa.”
“Kami tiada pilihan dan terpaksa bermain menggunakan semua pemain yang kami ada sehingga jendela perpindahan yang akan datang.”
Longhi kecewa dengan pertahanan yang melakukan kesilapan mudah. Jadi, kini JDT akan fokus sepenuhnya kepada Liga Super.
“Perlawanan ini juga tidak membantu apabila pemain pertahanan kami membuat dua kesilapan yang mudah.”
“Kesilapan gol kedua mengubah segala-galanya apabila pemain pertahanan kami membuat kesilapan mudah dengan menyimpan bola begitu lama sekaligus memberi pihak lawan mengambil peluang mendapatkan jaringan.”
“Jadi apabila bahagian atas tidak beraksi dengan baik, sekurang-kurangnya ada keseimbangan jikalau pertahanan kami bermain dengan bagus.”
“Tetapi apabila di atas kurang menyengat dan di bahagian bawah turut melakukan kesilapan yang mudah, maka perlawanan sudah tamat. Oleh itu kami perlu memberikan tumpuan segala-galanya kepada saingan liga.”