Bekas pemain Bayern Munich, Bixente Lizarazu mengakui kombinasi hebat dua pemain skuad Die Roten itu, Joshua Kimmich dan Thiago Alcantara menjadikan mereka sebagai gandingan tengah terbaik di dunia pada ketika ini.
Lizarazu beraksi selama sembilan musim bersama kelab Bavaria itu jelas amat memuji kualiti dimiliki kedua-dua pemain tersebut dan turut melihat tiada lagi gandingan tengah terbaik dapat disaksikannya seperti yang telah dipamerkan duo ini.
Thiago yang merupakan produk La Masia mula menyertai Bayern Munich pada musim 2013/14 ketika di bawah kendalian Pep Guardiola manakala berselang dua musim kemudian, Kimmich pula direkrut daripada RB Leipzig.
”Joshua Kimmich dan Thiago Alcantara – mereka pada ketika ini adalah merupakan duo pemain tengah terbaik di dunia dan bermain di tahap yang sangat tinggi.”
”Secara teknikalnya, mereka berdua ini cukup sempurna dan mereka selalu ingin untuk memiliki [mengawal] bola. Itu merupakan perkara sangat penting buat pasukan kerana ada keselamatan [kawalan bola],” ujar Lizarazu menurut Goal.
”Kimmich dan Thiago sama-sama sangat hebat, saya tidak melihat ada duo yang lebih baik daripada mereka dalam dunia bola sepak [ketika ini].”
Dalam pada itu, Lizarazu turut merasakan Joshua Kimmich turut mempunyai ciri-ciri hebat untuk menjadi ketua pasukan buat Bayern Munich.
”Sekiranya anda bermain di posisi tengah buat Bayern Munich, anda juga boleh untuk menjadi ketua pasukan.”
”Kimmich tahu bagaimana untuk memberikan keseimbangan yang tepat buat pasukan. Saya sangat kagum dengan tahapnya, kerana saya sebenarnya berpendapat bahawa bek kanan adalah posisi terbaik buatnya.”
”Kini, saya terpaksa mengatakan bahawa posisi tengah adalah lebih baik buatnya berbanding [pertahanan] kanan. Ya, saya merasakan Kimmich sesuai untuk menjadi ketua pasukan,” tambah Bixente Lizarazu lagi.