Liverpool Wujudkan Klausa Unik, Hanya Hadkan Kereta Tertentu Boleh Dipandu Pemain Akademi

Liverpool

Proses membangunkan pemain akademi ini sebenarnya satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

Tidak semua jurulatih boleh melatih pemain-pemain muda yang nyata lebih sukar diuruskan berbanding pemain-pemain senior. Pendekatan berbeza harus dilakukan kerana jika tersalah buat, pasti pemain akademi tidak berjaya seperti diharapkan.

Dengan cabaran yang lebih banyak di dunia luar termasuklah media sosial, pastinya sukar untuk pemain akademi untuk fokus kepada usaha meningkatkan prestasi mereka kerana pasti akan ada diantara mereka yang terleka kerana sibuk ingin bergaya di Instagram atau TikTok.

Dan kerana itulah di Liverpool, mereka mengambil pendekatan yang dilihat seperti cara lama tetapi praktikal untuk memastikan pemain-pemain akademi kelab itu tidak hanyut dengan duniawi.

Menurut Pengarah Akademi Liverpool, Alex Inglethorpe, kelab itu menetapkan peraturan dengan menghadkan beberapa jenis kereta sahaja yang boleh dipandu pemain akademi ke kompleks latihan.

Tanpa menyebut jenis kereta yang dibenarkan, Inglethorpe mengatakan yang kelabnya tidak membenarkan pemain-pemain akademi untuk membawa kenderaan berjenama hebat seperti Range Rover.

“Apa yang kami lakukan sekarang adalah mengarahkan pemain untuk bersetuju dengan ‘klausa kereta’, kerana kami tak mahu mereka memandu menggunakan Range Rover [ke latihan].

“Tujuan kami tidak mahu mereka memandu sesuatu yang terlalu besar atau mewah bukan kerana risaukan pengurus atau staf akan bercakap-cakap mengenai mereka, tetapi pemain dari skuad utama,” kata Inglethorpe.

Pada hemat Inglethorpe, beliau yakin yang pemain-pemain senior dari skuad utama seperti Jordan Henderson dan Andy Robertson tidak memandu kereta-kereta mewah ke kompleks latihan semasa zaman akademi mereka.

“Saya tak pasti yang James Milner, Jordan Henderson, Andy Robertson yang kereta pertama mereka ada unsur-unsur merendah diri dan itu yang saya tunjukkan kepada pemain akademi.

“Anda tidak boleh menyertai perlumbaan yang anda tidak boleh menang. Anda tidak boleh berfikir yang anda adalah seorang pemain skuad utama kerana mempunyai kereta yang lebih baik [berbanding pemain lain],” tambah Inglethorpe lagi.

Inglethorpe mendedahkan yang pihaknya boleh saja membayar gaji yang tinggi kepada pemain-pemain akademi mereka namun begitu mereka menghadkan perkara tersebut supaya fokus tidak hilang kerana wang.

Sebelum ini, bekas pengurus Liverpool pernah mendedahkan yang beliau sengaja tidak mahu memberi gaji yang terlalu tinggi kepada Raheem Sterling yang ketika itu baru saja muncul dalam skuad utama Liverpool.

Tujuannya adalah tidak mahu pemain terbabit leka dengan wang yang terlalu banyak.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN