Persoalan kini sudah pun terjawab.
Sejak Liverpool mengesahkan tempat ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL), terdapat satu persoalan bermain di minda semua orang.
Adakah bekas bintang mereka, Philippe Coutinho akan memperoleh pingat selepas perlawanan akhir ini?
Jawapannya adalah ya. Liverpool telah mengesahkan bekas pemain mereka yang kini beraksi untuk Barcelona ini akan menerima pingat perlawanan akhir UCL tidak kira sama ada Liverpool menang atau kalah dalam perlawanan tersebut.
Keputusan ini dibuat dengan tujuan Liverpool menghargai atas sumbangan yang diberikan oleh Coutinho kepada Liverpool dalam perjalanan mereka ke perlawanan akhir.
Dalam masa yang sama keputusan ini turut membuktikan yang pengurus kelab iaitu Jurgen Klopp tidak pernah menyimpan dendam terhadap pemain itu yang benar-benar mahu berpindah ke Barcelona pada Januari lalu.
Untuk rekod, Coutinho bermain dalam perlawanan peringkat kumpulan UCL buat Liverpool sebelum berpindah ke Barcelona.
Oleh kerana itu juga, beliau tidak boleh beraksi untuk Barcelona di peringkat kalah mati kerana peraturan UCL yang hanya membenarkan seorang pemain mewakili satu pasukan sahaja dalam satu musim UCL.
Pingat kemenangan itu akan dihantar ke Barcelona dengan Coutinho dijangka tidak akan berada di Kiev untuk perlawanan akhir tersebut.
UEFA telah menyediakan sebanyak 40 pingat emas untuk pasukan juara untuk perlawanan akhir ini semantara 30 pingat perak untuk pasukan yang muncul sebagai naib juara.
Pingat-pingat tersebut akan diagihkan kepada para pemain dan juga staf yang terlibat.