Ini merupakan satu pendedahan yang cukup mengejutkan melibatkan dua pasukan utama di Premier League ketika ini.
Menurut laporan The Times, pada tahun 2013 Liverpool telah pun diarahkan membayar denda sebanyak £1 juta selepas didakwa menggodam sistem pencarian bakat Manchester City.
Sistem yang diberi nama sebagai Scout7 itu kononnya telah digodam oleh Liverpool dan Manchester City mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan pakar.
Mereka meminta bantuan dari pakar intipan-komputer untuk mengetahui siapakah dalang yang cuba menggodam sistem tersebut.
Tuduhan ini terjadi kerana kes ini berlaku setahun selepas tiga pencari Manchester City berpindah ke Liverpool termasuk pengarah sukan semasa The Reds – Michael Edwards.
Dikhabarkan, Liverpool telah cuba menggodam sistem tersebut beratus kali dan kerana itu, Manchester City terpaksa melajukan proses perpindahan Fernandinho dan juga Jesus Navas ketika itu.
Selepas enam tahun berlalu, baru kes ini didedahkan oleh media di England dengan kedua-dua kelab dilaporkan menyelesaikan hal ini secara sulit tanpa pengetahuan umum.
Malah, Liverpool dan Manchester City dikatakan tidak mahu memberikan penjelasan lanjut mengenai hal ini kerana ianya dianggap sebagai sulit bagi kedua-dua pasukan.