Quantcast

Futsal

MPFL 2019: Pahang & Perak Sekadar Terikat, Berita Baik Buat Selangor

Pahang Rangers terpaksa melupakan hajat untuk muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 apabila terikat 3-3 menentang Perak di Stadium Tertutup SUKPA sebentar tadi.

Meskipun tidak beraksi minggu ini, keputusan seri itu sudah cukup untuk menggembirakan Selangor yang dinobatkan selaku juara edisi sulung tersebut.

Perak yang menumpaskan Pahang di Ipoh tempoh hari tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mohd Awalluddin Mat Nawi dengan tenang menolak masuk bola leret hasil hantaran jauh dilakukan Mohd Ridzwan Bakri pada minit keempat.

Tersentak dengan jaringan tonggak utama skuad kebangsaan itu, Pahang dilihat berusaha keras dalam usaha kembali menyamakan kedudukan.

Jaringan yang diharapkan Pahang menjelma pada minit ke-15 setelah Mohd Azwann Ismail tidak melepaskan peluang menyempurnakan peluang terhidang susulan rembatan Firdaus Ambiah yang gagal diselamatkan dengan baik penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin.

Kegembiraan penyokong Pahang itu hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip meletakkan Perak kembali di hadapan menerusi percubaan lambung dari jarak jauh ketika penjaga gol, Aizah Borhanudin sudah pun keluar dari posisinya.

Ketika aksi bertambah menarik, Muhammad Syawal mencuri tumpuan dengan beberapa kali bertindak cemerlang menafikan percubaan bertubi-tubi yang dilancarkan para pemain Pahang.

Perak yang dibimbing Ruzaley Aziz juga beberapa kali cuba menghadirkan ancaman ke gawang Pahang tetapi penyudah kurang berkesan menghampakan skuad ‘Yob’ itu.

Firdaus Ambiah sekali lagi menggamatkan perkarangan stadium apabila rembatan hasil sepakan percuma diledakkannya menjadikan kedudukan kembali terikat [2-2] pada minit ke-25.

Kedudukan tersebut bagaimanapun hanya bertahan seminit selepas Ridzwan Bakri mengambil kesempatan kesilapan pemain Pahang, Muhammad Farhan Khairul Anuar yang terlalu lama mengawal bola di hadapan pintu gol sendiri.

Awalluddin yang berjaya merampas bola daripada pemain muda tersebut, mengumpan bola kepada Ridzwan dan sekaligus meledakkan rembatan bagi membolosi kawalan Aizat.

Pahang menyamakan kedudukan buat kali ketiga pada minit ke-30 setelah rembatan padu Firdaus Ambiah dari sebelah kiri pintu gol Perak gagal dihalang Muhammad Syawal bagi menjadikan kedudukan 3-3.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata. Kedudukan terkini menyaksikan Pahang Rangers ditangga kedua dengan 34 mata, empat mata ketinggalan dibelakang Selangor ketika aksi berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Kredit fotoPahang Rangers FC