Liverpool mengesahkan pemain pertahanan tengah, Joe Gomez telah mengalami kecederaan retak tulang kaki dan akan tersisih sehingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya.
Kecederaan tersebut dialami oleh Gomez ketika membantu Liverpool menang 3-1 ke atas Burnley di Turf Moor baru-baru ini.
Kecederaan serius
Pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-23 perlawanan sebelum digantikan oleh Trent Alexander-Arnold.
Klopp yang meluahkan kekecewaan terhadap corak permainan agresif Burnley turut berkata beliau menjangkakan kecederaan Gomez sebagai serius ketika bercakap kepada wartawan selesai perlawanan di Turf Moor tempoh hari.
“Joe [Gomez] mengalami kecederaan, dan ia tidak nampak seperti kecederaan ringan. Kami harus tunggu. Buat masa ini, kami belum tahu sejauh mana kecederaan tersebut,”
Selepas pemeriksaan lanjut pada Khamis lalu, Liverpool mengesahkan Gomez mungkin tidak akan beraksi lagi untuk baki perlawanans sepanjang 2018.
Cemerlang musim ini
Gomez adalah salah seorang pemain utama Liverpool pada musim ini – tampil di dalam 12 dari 15 perlawanan Liga Perdana Inggeris untuk kelab Merseyside itu pada musim ini.
Di pertandingan UEFA Champions League, Gomez turut diturunkan di dalam empat daripada lima perlawanan peringkat kumpulan yang dilalui setakat ini.
Pemain muda produk Charlton Athletic ini telah membentuk gandingan yang mantap bersama Virgil van Dijk di benteng pertahanan Liverpool – yang merupakan salah satu faktor permulaan baik kelab tersebut di saingan domestik setakat ini.
Prestasi cemerlang Gomez bersama Liverpool turut menyaksikan beliau berjaya merebut posisi pertahanan tengah skuad England yang mara ke separuh akhir UEFA Nations League pada bulan lalu.