Saingan Piala Dunia 2022 ini pastinya menjadi tarikan buat kelab-kelab besar di serata dunia untuk memantau seberapa ramai bakat muda berpotensi untuk dibawa masuk pada tarikh perpindahan akan datang.
Antara kelab yang menghantar wakil mereka di Qatar kali ini termasuklah gergasi England iaitu Liverpool untuk memantau pemain sasaran terbaharu pasukan tersebut.
Menurut laporan Sport Bible, Liverpool ketika ini sedang memantau bintang muda Sepanyol yang beraksi di posisi serangan iaitu Nico Williams.
Pada perlawanan baru-baru ini, Nico telah pun dibawa masuk pada aksi separuh masa kedua untuk menggantikan khidmat seorang lagi bakat muda berpotensi besar, Gavi.
Sepanyol mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Jerman bagi perlawanan kedua peringkat Kumpulan E, setelah Nicklas Fullkrug kembali menyamakan kedudukan selepas jaringan awal diledak oleh Alvaro Morata.
Keputusan seri itu menyaksikan Sepanyol masih lagi belum mencatat sebarang kekalahan setakat ini dalam saingan Piala Dunia, selepas mereka merekodkan kemenangan besar 7-0 sewaktu bertemu Costa Rica.
Skuad kendalian Luis Enrique kali ini menyaksikan ada beberapa rombakan dengan ramai bintang-bintang muda dipertaruhkan selain sebilangan tonggak senior yang menyumbang dari segi pengalaman.
Antara mencuri tumpuan ialah gandingan di posisi tengah membabitkan Pedri dan Gavi bersama pemain senior berpengalaman iaitu Sergio Busquets.
Tambahan pula, pemain gantian iaitu Nico berjaya mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk menekan pertahanan Jerman biarpun masuk pada pertengahan separuh masa kedua.
Aksi positifnya itu berjaya mendapat perhatian daripada wakil Liverpool yang semakin menunjukkan rasa minat kepada Nico untuk dibawa masuk kelab tersebut pada masa akan datang.
Selain Liverpool, laporan menyatakan ada dua lagi pasukan turut mempamerkan rasa minat untuk mendapatkan pemain serangan lincah Athletic Bilbao itu.
Gergasi Itali iaitu Juventus antara yang menunjukkan minat besar untuk mendapatkan khidmat Nico dalam usaha mereka untuk memperbaiki aspek serangan pasukan.
Selain itu, pasukan lawan Liverpool iaitu Manchester United juga dikhabarkan turut berminat kepada Nico, setelah beberapa pemantauan telah dibuat kepada pemain tersebut sebelum ini.
Nico jelas menonjol bersama Athletico pada musim ini selepas pemain tersebut sudah meledak tiga gol serta empat bantuan jaringan daripada 14 penampilan bersama pasukan itu.