Wow. Ini pastinya akan memberikan keterujaan kepada semua penyokong Liverpool!
Pasukan Premier League itu kini di dalam peringkat yang lebih tinggi dalam proses memeterai perjanjian bersama-sama gergasi barangan sukan iaitu Nike.
Menurut laman Empire of the Kop, Liverpool dan Nike dijangka bakal mengesahkan usahasama antara dua pihak dalam bentuk penajaan jersi.
Sekiranya berjaya, Nike akan menggantikan New Balance sebagai penaja jersi Liverpool dengan kontrak penaja jersi semasa kelab itu akan berakhir pada musim 2019/2020.
Jika perjanjian ini berjaya dilaksanakan, maka Liverpool akan memperoleh tajaan jersi yang terbesar dalam sejarah Premier League.
Ianya akan mengatasi perjanjian antara Adidas dan Manchester United yang bernilai £750 juta yang dipersetuju selama 10 tahun.
Buat masa ini, Liverpool hanya memperoleh £45 juta sahaja setahun daripada perjanjian bersama-sama New Balance.
Jika perjanjian ini berhasil, Liverpool akan menyertai pasukan elit yang lain seperti Barcelona dan Paris Saint-Germain yang telah ditaja oleh Nike sekarang.
Perjanjian ini dijangka memberikan nikmat yang tak terhingga buat Liverpool walaupun Nike bukanlah jenama jersi yang digemari oleh sekelompok penyokong kelab kerana rekaan jersinya.
Namun begitu, ianya pasti memberikan suntikan dana yang cukup baik buat kelab itu untuk terus bersaing sebagai pasukan utama di England dan Eropah.
Liverpool kini mendahului Premier League, berkelebihan 1 mata di hadapan Manchester City.