Pemilik Liverpool, Fenqay Sports Group (FSG) sentiasa terbuka untuk menerima sebarang bentuk pelaburan, namun tetap bertegas bahawa kelab Merseyside itu bukan untuk dijual.
Sebelum ini terdapat laporan mengatakan sepupu kepada pemilik Manchester City, Sheik Mansour juga berpengkalan di Abu Dhabi, Sheik Khaled Bi Zayed al-Nehayan telah melakukan tawaran bernilai £2bn untuk mengambil alih kelab tersebut.
The Guardian melaporkan tawaran tersebut adalah salah satu yang diterima FSG sejak beberapa tahun lalu, tetapi tidak melepasi peringkat pemeriksaan dan dianggap sebagai tawaran tanpa kredibiliti atau tidak berbaloi.
“FSG sentiasa menjelaskan perkara ini dan konsisten: kelab ini bukan untuk dijual,” ujar satu kenyataan oleh Liverpool.
Bagaimanapun FSG berkata mereka sedia menerima pelaburan (dalam bentuk pegangan minoriti) jika ia boleh membantu kelab tersebut meluaskan nilai komersil di pasaran tertentu, bersesuaian dengan perkembangan dan hala tuju kelab tersebut.
FSG sebenarnya merujuk kepada modus operandi yang dilakukan oleh Manchester City. Walaupun dimiliki oleh jutawan Arab, kelab Manchester itu masih menerima pelaburan yang menguntungkan apabila menjual 13% pegangan kelab tersebut kepada sebuah konsortium dari China pada 2015 dengan nilai £265 juta.
FSG menggunakan perkhidmatan sebuah bank pelaburan yang berpusat di New York, Allen & Company untuk melakukan tapisan terhadap sebarang tawaran. Bermakna tawaran harus melalui bank tersebut sebelum diserahkan kepada hierarki tertinggi kelab.
Bagaimanapun tawaran terbaru ini dikatakan tidak pernah serius sehingga dibincangkan dengan pihak bank. Malah pemilik FSG sendiri, John Henry; Pengerusi Liverpool, Tom Werner dan Presiden FSG, Mike Gordon tidak menyemak sebarang kertas cadangan berkenaan perkara itu.
FSG sendiri telah melakukan pelaburan yang besar sejak mengambil alih pemilikan kelab tersebut dengan nilai £300 juta pada Oktober 2010.
Sejak dari itu FSG turut melabur sebanyak £115 juta untuk meluaskan Main Stand di Anfield, £50 juta komitmen untuk pusat latihan baharu, menawarkan Jurgen Klopp kontrak untuk enam tahun pada 2016, dan juga yuran perpindahan bernilai £170 juta hanya pada musim panas yang lalu.