Pernah beraksi di saingan A-League, Taylor Regan dan Matthew Davies percaya yang pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi mampu mencipta nama di sana.
Bekas pemain dan kapten Selangor yang kini akan beraksi bersama Sarawak United dalam saingan Liga Malaysia 2021 itu pernah memerah keringat di sana malah, Newcastle Jets adalah kelab terakhirnya sebelum tiba di Malaysia buat kali pertama pada 2016, selain merupakan tempat kelahirannya di Australia.
Bercakap kepada media di Australia, The World Game, Taylor Regan dipetik berkata yang beliau yakin Liridon mampu membantu Newcastle Jets tetapi apa yang menjadi persoalan kini adalah tahap kecergasannya ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kata bekas pemain Newcastle Jets dan Adelaide United di saingan A-League itu, “Begitupun persoalan terbesar tentangnya [Liridon] adalah tahap kecergasannya. Dia sudah lama tidak bermain di saingan tertinggi sejak 2020 dan menghabiskan keseluruhan musim lalu bersama skuad simpanan di Johor.”
Arrived ✅#ALeague https://t.co/5iefjKcsF7 pic.twitter.com/dMQcs0UljD
— NEWCASTLE JETS FC ✈️ (@NewcastleJetsFC) February 18, 2021
“Saya pernah beraksi menentang Liridon dahulu ketika dia merupakan pemain ternama di Kedah. Secara teknikal dan fizikalnya dia sangat kuat dan saya rasakan yang dia ada ‘x-factor’ untuk menjaringkan banyak gol bersama Newcastle,” jelas Taylor Regan.
Liridon tiba di Australia pada awal Februari lalu dan sudah melengkapkan tempoh kuarantinnya di sana baru-baru ini. Saingan A-League sudah bermula sejak hujung Disember lalu menyaksikan Newcastle Jets ketika ini berada di kedudukan ke-8.
Kelab yang digelar The Jets itu boleh dikatakan sedang dalam fasa bermasalah selepas COVID-19 melanda dunia dengan ketika ini sedang dimiliki oleh sebuah konsortium yang dibentuk untuk menyelamatkan mereka daripada terus berkubur.
Sementara itu, menurut seorang lagi bekas pemain A-League yang kini merupakan pemain skuad kebangsaan, Matthew Davies, Liridon mampu menjadi pemain sensasi di sana berdasarkan apa yang telah dipamerkan ketika di Malaysia sebelum ini.
Mengapa Perjanjian Liridon, Abi Ke Newcastle Jets Boleh Dianggap 'Win-Win Situation'? https://t.co/puI3saKJB9 pic.twitter.com/z8rvfScWVR
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 6, 2021
Ujarnya, “Dia seorang pemain tengah berbakat dan ada keyakinan untuk buat sesuatu yang orang lain tidak terfikir untuk buat. Dia tentunya seorang yang sangat fizikal dengan ketinggian 190cm tetapi yang menariknya adalah tekniknya bersama bola.”
“Saya rasa dia akan membawa sesuatu yang berbeza dan menghiburkan [untuk Newcastle Jets] selepas menyesuaikan diri,” jelas Matthew Davies lagi.
Newcastle Jets akan menentang Melbourne Victory dalam aksi ke-9 pada esok dan berkemungkinan besar Liridon yang dipinjamkan oleh JDT untuk musim 2020/21 itu masih belum dapat diturunkan lagi. Berdasarkan kemaskini terbaru di laman Facebook kelab tersebut, beliau baru tiba di Newcastle dan belum lagi turun berlatih.
KREDIT FEATURED IMAGE: NEWCASTLE JETS
Baca lagi artikel lain mengenai Liridon Krasniqi:
Mengapa Perjanjian Liridon, Abi Ke Newcastle Jets Boleh Dianggap ‘Win-Win Situation’?
Tiada Tempat ‘Mudah’ Untuk Sesiapa Termasuk Liridon Krasniqi