Pemain tengah naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dilaporkan bakal menyertai Selangor pada musim hadapan, selepas beliau mempamerkan aksi cemerlang tahun ini bersama Terengganu.
Terdahulu, Semuanya BOLA pernah menerbitkan artikel tentang kesesuaian Liridon bersama Selangor selepas beliau dilaporkan sah tidak lagi bersama Terengganu untuk musim hadapan.
Liridon Krasniqi Paling Layak Isi Posisi Tengah Selangor Musim 2024
Sepanjang bersama Terengganu musim ini, prestasi Liridon jelas sangat meningkat setelah beliau melalui musim-musim sedikit suram dalam karier bola sepak profesional.
Bawah kendalian Tomislav Steinbruckner, Liridon telah mencatat dua jaringan bersama dua bantuan gol untuk Terengganu selain reputasi beliau di atas padang juga kembali mendapat perhatian ramai.
Paling mencuri tumpuan, kawalan bola beliau juga kini semakin bagus selain keupayaan lamanya dalam membuat hantaran-hantaran kreatif kepada pemain serangan kembali dipertontonkan.
Nama Liridon tidak perlu dipertikaikan lagi selepas pemain itu mencipta sensasi sangat hebat ketika mewakili Kedah pada awal karier beliau di Malaysia.
Selepas beberapa tahun, pemain ini telah pun mendapat kerakyatan menerusi status naturalisasi dan telah pun mewakili skuad kebangsaan untuk beberapa perlawanan dan turut mencipta nama sebagai antara penjaring.
Untuk saingan musim hadapan, sumber kami telah pun menyatakan pemain ini bakal mewakili Selangor sebaik sahaja kontrak beliau bersama Terengganu tamat tidak lama lagi.
Ini bermakna, Liridon sekali lagi akan ke pentas Asia untuk dua tahun berturut-turut selepas bersama Terengganu pada musim ini dalam saingan AFC.
Tampil selaku naib juara Liga Super 2023, Selangor secara rasminya kini turut mendapat salah satu slot berharga untuk ke saingan Asia pada tahun hadapan dan sudah tentu mereka ingin membuat persediaan lebih rapi.
Menurut sumber kami, Liridon juga turut menyatakan sebab mengapa beliau ingin menyertai The Red Giants untuk saingan musim hadapan.
“Liridon menyatakan faktor beliau untuk menyertai Selangor adalah disebabkan ingin berada bawah pengendali kelab tersebut, Tan Cheng Hoe.
“Sebelum ini dia beraksi dengan sangat baik ketika bawah kendalian Cheng Hoe sewaktu kedua mereka sama-sama mewakili Kedah pada beberapa tahun lalu,” kata sumber berkenaan kepada kami.
Kemasukan Liridon dianggap sangat tepat kini buat Selangor, kerana pasukan tersebut pastinya ingin mendapatkan para pemain baharu lebih berkualiti untuk berdepan cabaran sengit pada tahun hadapan.
Dijangka, pemain ini bakal memainkan peranan sangat penting buat pasukan tersebut pada musim hadapan kerana Cheng Hoe sudah tentu mengetahui kelebihan dimiliki pemain tengah berkenaan.