Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan skuad Harimau Malaya bakal diperkuatkan oleh seorang lagi pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh.
Menurut kenyataannya dalam Harian Metro, pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi atau Mat Don antara calon pilihan dan semakin hampir mendapat status warganegara Malaysia setelah beliau menepati pelbagai kriteria yang ditetapkan.
“Panel pemilihan sudah menyediakan laporan setiap pemain yang dinilai oleh jawatankuasa. Senarai itu sudah ada di tangan kami cuma tinggal langkah seterusnya dengan berjumpa pihak kementerian berkaitan mengenai soal dokumentasi dan sebagainya.
“Kalau dilihat pemain ini memang layak jadi pemain Malaysia. Liridon dilihat menepati kriteria yang kami mahukan dan semua (panel) bersetuju. Tapi yang membimbangkan adalah tahap kecederaannya.
“Adakah dia boleh pulih sepenuhnya atau tidak. Ini menjadi pertimbangan dan kami perlu memantau tahap kesihatannya terlebih dulu. Tapi dari segi prestasi saya lihat banyak memihak kepadanya,” katanya.
Selain Mat Don, penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan penyerang UKM FC, Michael Ijezie turut berada dalam radar FAM untuk dinaturalisasikan selepas beraksi selama 5 musim dalam saingan Liga Malaysia.
“Kami ada tiga atau empat calon saja dalam senarai. Banyak faktor dokumentasi yang bermasalah misalnya, ada antara mereka yang pernah beraksi di luar sekejap dan datang balik sini.
“Jadi perkara macam inilah kami perlu semak dengan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sebab ia ada kaitan dengan ITC (sijil perpindahan pemain) kerana pemain ini perlu memohon ITC untuk bermain di luar.
“Maknanya jika mereka pergi bulan Mei dan balik semula pada bulan November atau Disember, adakah ia dianggap terkeluar daripada tempoh lima tahun wajib berada di negara ini atau macam mana.
“Contoh Guilherme pernah keluar sekejap, jadi kami tak tahu statusnya bagaimana. Apapun kami akan maklumkan apabila semua proses dokumentasi itu selesai,” jelasnya.
Sejak bulan April lalu, Liridon gagal beraksi dengan skuad Melaka United kerana mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Jerman. Situasi itu menjejaskan perancangan pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan yang perlu mencari pengganti dengan segara.
Ini bukanlah kali pertama Liridon menghilangkan diri ke luar negara kerana ketika bersama Kedah, Liridon pernah menghilang dan kemudian kembali selepas 7 perlawanan. Dan Kedah melalui fasa sukar sepanjang ketiadaannya apabila gagal merekodkan sebarang kemenangan sepanjang hampir dua bulan pada musim lalu.