Menjadi juara Malaysia Super League pada musim 2013, tetapi jatuh tersungkur ke tangga ke-8 pada musim berikutnya bukanlah satu perkara yang membanggakan buat para pemain dan penyokong LionXII.
Secara ringkasnya kempen 2014 adalah merupakan kempen terburuk LionXII setelah menyertai semula Malaysia Super League pada tahun 2012. Penghijrahan tonggak utama mereka seperti Baihaki Khaizan (ke JDT II), Hariss Harun (JDT) & kapten serta penjaring terbanyak, Shahril Ishak (JDT II) mungkin menjadi faktor kemerosotan. Tetapi faktor ‘kekurangan pengalaman’ bukan boleh menjadi alasan mereka lagi kerana hampir 12 pemain skuad mereka merupakan anggota tetap skuad kebangsaan Singapura.
Musim lepas, Lions XII memulakan kempen liga mereka dengan langkah kiri. Kalah 1-0 kepada Pahang di Kuantan, Lions XII bangkit menewaskan gergasi bola sepak Malaysia, Selangor di halaman sendiri sebelum mengikat pasukan jiran, JDT di Larkin selepas ketinggalan dua gol.
Bagaimanapun prestasi mereka tiba-tiba merudum apabila saingan liga menginjak ke bulan Mac. Mereka kerap kalah menentang pasukan yang jauh lebih kecil berbanding JDT dan Selangor. Ya, hampir semua pasukan Liga Super mempunyai motivasi tambahan apabila bertemu Lions XII kerana faktor Causeway derby tetapi ada faktor lain yang menyumbang kemerosotan prestasi mereka.
Ketumpulan jentera serangan Lions XII merupakan faktor utama Lions XII gagal mengutip mata penuh secara konsisten. Khairul Amri mengetuai jentera serangan Lions XII musim lepas sambil dibantu oleh Shahfiq Ghani dan Sufian Anuar, dan diantara mereka bertiga – hanya 10 gol berjaya dijaringkan sedangkan mereka merupakan pasukan yang paling banyak mencipta peluang gol di Liga Super. Shahfiq Ghani merupakan pemain yang paling bersalah dalam aspek ini apabila gagal menjaringkan sebarang gol musim lepas walaupun mempunyai minit perlawanan yang lebih banyak berbanding Sufian Anuar.
Ketua Jurulatih
Fandi Ahmad, lahir pada 29 May 1962 merupakan pemain Singapura yang paling banyak merangkul anugerah dan pingat sepanjang karier beliau sebagai pemain bola sepak. Fandi telah bermain dengan pasukan Singapura dan menjadi pemain termuda yang mewakili pasukan negara sekitar tahun 1980.
Dari segi taktikal, Fandi Ahmad lebih direct dan bermentaliti menyerang berbanding V. Sundramoorthy yang lebih defensif. Perubahan falsafah bola sepak antara dua jurulatih ini nyata memanfaatkan pemain-pemain sayap Lions XII seperti Faris Ramli, Gabriel Quak dan Nazrul Nazari. Faris Ramli nyata menunjukkan peningkatan yang paling ketara apabila mula menambah gol dalam aspek serangannya dari bahagian sayap.
Barisan Pemain Baru
Musim ini, Fandi mempunyai seorang lagi pemain sayap yang berbakat besar. Christopher van Huizen merupakan pemenang rancangan realiti televisyen ‘First XII’ (yang hampir sama dengan rancangan MyTeam suatu masa dahulu). Sebelum rancangan tersebut, nama van Huizen lebih dikenali dalam sukan skateboarding kerana beliau merupakan atlet skateboard ke-6 terbaik di Singapura. Tetapi dalam bola sepak, van Huizen dikenali sebagai seorang pemain sayap yang mahir menggunakan dua kaki, dikurniakan skil gelecekan yang baik walaupun beliau kelihatan agak gopoh dalam membuat keputusan di kawasan final third lawan.
Sahil Suhaimi pula tiba untuk memberi cabaran kepada barisan penyerang Lions XII yang tumpul di hadapan gol pada musim lepas. Wahyudi Wahid pula diserap masuk dalam pasukan setelah menyerlah di S-League.
Kekuatan
Kepantasan serangan terutamanya dari bahagian sayap menjadi senjata utama untuk LionXII. Faris Ramli yang juga merupakan peserta top 52 pertandingan Nike ‘The Chance’ merupakan pemain sayap yang menunjukkan peningkatan yang ketara selepas dua musim bermain di Liga Super. Asalnya seorang pemain sayap yang kurus dan kecil, Faris kini merupakan antara pemain sayap terbaik di Asia Tenggara. Beliau membantu Singapura layak ke suku akhir Piala Aff Suzuki 2014 untuk bertemu Malaysia, memberi mimpi ngeri kepada Mahali Jasuli.
Tidak cukup dengan Faris Ramli, Lions XII mempunyai pemain baru seperti Christopher van Huizen dan Samuel Benjamin yang asing di telinga jurulatih dan pemain pasukan lain di Liga Super, sekaligus memberikan element of surprise kepada anak buah Fandi Ahmad. Gabriel Quak dan Nazrul Nazari dijangka akan menyambung peranan mereka sebagai pemain senior untuk dua pemain sayap baru Lions XII.
Kelemahan
Masih mengekalkan identiti mereka iaitu menggunakan 100% pemain tempatan untuk musim baru MSL 2015, perubahan peraturan yang membenarkan 4 pemain import beraksi serentak di atas padang akan sedikit sebanyak menguji kekuatan fizikal dan mental para pemain LionXII untuk beraksi sepanjang 90minit permainan. Pemain-pemain import dari pasukan lawan seperti Damion Stewart & orang besi Pahang, Dickson Nwakaeme bakal menghidangkan mimpi ngeri buat LionXII terutamanya barisan pertahanan mereka.
Safuwan Baharudin, pemain bintang LionXII musim lepas yang beraksi cemerlang di barisan pertahanan dan mampu beraksi sebagai penyerang dikhabarkan telah sah akan beraksi di Liga Australia (A-League) pada musim ini. Untuk statistik sepanjang kempen 2014, Safuwan Baharudin berjaya menjaringkan 4 gol; kedua terbanyak di belakang Khairul Amri dengan 7 gol. Fandi Ahmad jurulatih LionXII perlu melakukan sesuatu yang drastik kepada pemain sedia ada bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka. Pemergian Safuwan akan meninggalkan kesan yang besar, kerana Fandi Ahmad perlu bergantung sepenuhnya kepada pasangan Afiq Yunos-Madhu Mohana dan dua muka baru, Wahyudi Wahid dan Faris Azienuddin.
Ayam Tambatan
Tanpa ragu-ragu, kami memilih Faris Ramli. Beliau mungkin bertubuh kecil (168cm) tetapi licik mengelak bentesan pertahanan dan gemar melakukan cut inside dari sayap kiri sebelum membuat percubaan dengan kaki kanannya. Fandi gemar memberikan lesen kreativiti yang maksimum kepada Faris, sekaligus memberi beban kepada full back mereka yang sering terdedah dalam situasi 2-vs-1 sehingga menyebabkan benteng Lions XII rapuh, tetapi Fandi melihat ianya merupakan risiko yang berbaloi. Dengan Faris bebas dari kerja bertahan dan tracking back, beliau sering dijadikan outlet serangan balas Lions XII, mengeksploit ruang besar dengan kelajuan, skil dan keinginannya menjaringkan gol.
Kesimpulan
Stadium Jalan Besar yang dulunya dikatakan gelanggang kebal buat LionXII kini hanya sebuah cerita yang boleh diubah skripnya. Beberapa pasukan yang tidak diduga seperti Perak (2-0) & Sime Darby (1-0) turut mampu mengalahkan LionXII di gelangang ‘kebal’ mereka. Jika LionXII ingin terus kekal memberikan saingan yang sengit kepada pasukan lain, prestasi barisan pertahanan mereka haruslah ditingkatkan.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.