Di sebalik kebangkitan Manchester City dan juga Paris Saint-Germain di saingan eropah, Lionel Messi berkata beliau tidak akan memandang rendah akan keupayaan juara bertahan, Real Madrid sebagai salah sebuah pesaing utama mereka di pertandingan UEFA Champions League.
Walaupun mencatatkan 2 keputusan seri tanpa jaringan di tempat lawan, Barcelona kekal mendahului Kumpulan D, dengan kelebihan 3 mata mengatasi Juventus.
Barcelona juga sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya dalam pertandingan tersebut.
Setakat ini, skuad bimbingan Pep Guardiola, Manchester City dan juga wakil dari Ligue 1, PSG merupakan dua pasukan setakat yang mencatatkan 100% kemenangan daripada 5 perlawanan peringkat kumpulan.
Namun bagi penerima anugerah Kasut Emas Eropah baru-baru ini, peluang seteru utama mereka di saingan La Liga, Real Madrid harus tidak dipandang remeh.
Bercakap kepada Marca, Messi dipetik sebagai berkata:
“Manchester City dan juga PSG adalah antara dua pasukan yang terkuat pada masa ini.”
“Sehingga kini, kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi mengapa mereka layak menjadi pilihan. Tetapi pertandingan eropah adalah saingan yang sukar, dan juga panjang.”
“Saya tidak pernah menafikan peluang yang dimiliki oleh Real Madrid walaupun prestasi semasa mereka tidak seperti yang ramai kehendaki.”
“Saya tidak pernah meragui pada akhir musim nanti mereka akan bersaing untuk memenangi setiap pertandingan, dan mereka telah berbuat demikian pada setiap musim.”
“Begitu juga dengan juara Bundesliga, Bayern Munich.”
“Bayern adalah sebuah kelab yang besar dan akan memastikan diri mereka bersaing untuk kejuaraan bila tiba waktunya. Pada hari ini, adalah benar Manchester City dan PSG lebih mendominasi,” ujar pemenang 5 kali anugerah Ballon d’Or itu.
Kejuaraan UEFA Champions League akan sentiasa menjadi keutamaan untuk kelab dari Catalan itu. Namun demikian, Messi dan Barcelona yang mendahului La Liga pada masa ini mempunyai tugasan utama yang perlu diselesaikan.
Pada awal pagi nanti, Barcelona akan berkunjung ke Estadio Mestalla untuk pertembungan 2 pasukan teratas La Liga. Mampukah Barcelona menjarakkan mata daripada Valencia?
Atau mungkinkah Valencia akan mengejutkan Lionel Messi dan Barcelona?