Bintang Barcelona, Lionel Messi percaya bahawa rekod tanpa kalah dalam saingan La Liga berserta kelebihan 11 mata membuatkan kelab Catalan itu lebih stabil sejak kehilangan pemain antarabangsa Brazil, Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).
Menurut Goal, ketika ditanya adakah kehilangan Neymar telah membuatkan Barcelona semakin meningkat, Messi seolah-olah berfikir sedemikian.
Barcelona telah kehilangan Neymar pada jendela perpindahan musim panas yang lalu apabila PSG mengaktifkan klausa perpindahan bernilai €222 juta.
Neymar sebelum ini berjaya membentuk gandingan ‘MSN’ bersama-sama Lionel Messi dan Luis Suarez dalam memacu kejayaan dalam La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, bagi pemenang lima kali Ballon d’Or itu berkata Barcelona menjadi lebih baik tanpa pemain Brazil itu dengan pencapaian semasa yang dipamerkan kelab tersebut dalam saingan liga.
”Tanpa Neymar, kami menjadi lebih seimbang,” Messi memberitahu kepada World Soccer.
”Pemergiannya ke Perancis bermakna perubahan bagi corak permainan perlu dilakukan, kami kehilangan dalam aspek menyerang tetapi ianya membantu kami ketika bertahan.”
”Kami kini sangat baik di bahagian tengah, ia membuatkan kami lebih kuat ketika bertahan.”
Barcelona kini sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah bagi bertemu Chelsea.
Lionel Messi melihat sebuah lagi pasukan dari England iaitu Manchester City sebagai pasukan yang wajar diberikan perhatian pada saingan kali ini.
”Manchester City adalah antara pasukan yang kuat di dunia ketika ini, sama juga dengan PSG.”
”Bagaimanapun saya tidak boleh menafikan keupayaan Real Madrid yang mempunyai kualiti dan pengalaman. Kemudiannya Bayern Munich, sebuah lagi pasukan hebat yang akan bersaing hingga ke akhirnya. Tetapi ketika ini, City dan PSG adalah yang terbaik.”