Jika anda seorang peminat sukan bola sepak, nama Lionel Messi bukan lagi nama yang asing. Pemenang 5 kali anugerah Ballon d’Or ini disifatkan sebagai antara pemain bola sepak terhebat pernah dunia saksikan.
Dalam satu bual bicara bersama sebuah stesen televisyen, La Cornisa TV baru-baru ini, Messi mendedahkan bagaimana perubahan diet telah mengubah dirinya sebagai pemain bola sepak.
Sebelum ini Messi mendedahkan mengapa beliau sentiasa berasa sakit sehingga muntah ketika perlawanan. Semuanya itu berkaitan dengan diet dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.
Penyerang sensasi Barcelona ini mengakui pada 2014, perkara tersebut sering menganggu prestasi beliau di atas padang, terutama ketika beraksi di pentas antarabangsa bersama Argentina.
Bercakap kepada La Cornisa TV, Messi dipetik sebagai berkata:
“Saya mengamalkan pemakanan yang salah selama beberapa tahun. Cokelat, minuman berkarbonat, hampir semuanya adalah makanan kegemaran saya. Itulah yang menyebabkan saya sering muntah ketika perlawanan.”
“Menyedari hal itu, saya menjaga pemakanan dengan lebih baik. Saya makan lebih banyak ikan, daging dan juga salad. Semuanya lebih teratur dan dikawal lebih rapi,” ujar Messi.
Beberapa tahun yang lalu ketika prestasi Messi sedikit merudum, terdapat laporan yang mengatakan pemain ini bergelut dengan penyakit atau pun sedang mengalami masalah stress akibat tekanan di atas padang.
Untuk itu, ini penjelasan Messi:
“Saya mempelajari gaya hidup baharu seperti mana saya amalkan pada hari ini. Untuk menjadi diri sendiri kerana pada akhirnya anda akan menyedari adalah lebih mudah untuk melakukannya dengan cara sebegitu.”
“Saya tidak berfikir terlalu banyak bagaimana saya perlu menunjukkan diri kepada umum kerana sering diperhatikan. Saya menyedari ramai yang akan mengambil tahu apa sahaja yang saya akan perkatakan; yang akan memberikan impak positif atau negatif.”
“Untuk itu, apa sahaja yang keluar dari mulut saya, ia harus dilakukan dengan berhati-hati kerana ia turut boleh mengundang tanda tanya yang tidak sepatutnya dan juga kontroversi,” jelas pemain yang sudah berusia 30 tahun ini.
Dalam temubual itu, Messi turut berkongsi kisah anak-anaknya. Pada awal bulan ini, Messi menyambut kelahiran anak ketiha, Ciro.
Bezanya kelahiran Ciro tidak disambut dengan emosi melampau sepertimana ketika anak-anak beliau yang lain dilahirkan.
“Kali terakhir saya menangis ialah ketika kelahiran Mateo pada 2015. Ciro adalah yang ketiga. Mungkin saya sudah biasa akan situasi ini,” jelas Messi sambil ketawa.
Messi turut bercerita bagaimana kelahiran Thiago pada 2012 memberikan impak kepada beliau serta bagaimana dirinya menilai kemenangan dan kekalahan sebagai seorang pemain.
“Kelahiran anak yang pertama, Thiago telah membuka pemikiran saya supaya tidak memberikan fokus dalam kehidupan semata-mata kepada karier sebagai pemain bola sepak.”
“Sudah tentu saya tidak menggemari keputusan seri atau pun kalah, tetapi saya menerima keputusan tersebut dengan pendekatan yang berbeza.”
“Ini kerana anda mulai menyedari bahawa terdapat banyak perkara lain yang lebih penting daripada keputusan perlawanan.”
“Pada pengakhirannya, ia sekadar perlawanan yang semua pihak mahukan kemenangan, untuk menjadi juara, dan menjadi yang terbaik.”
“Mustahil untuk anda memenangi semua perlawanan, dan yang terbaik tidak semestinya akan menang.”
“Saya mempelajari bahawa apabila perlawanan sudah dimenangi atau pun kalah, akan ada perkara lain yang mempunyai kepentingan dan keutamaan yang sama.”
“Ia adalah anak-anak, isteri, dan keluarga saya yang harus diutamakan. Dan perkara lain ialah hal kedua di dalam hidup saya.” jelas Messi secara terperinci mengenai fokus dirinya.
Klik di pautan di bawah jika anda ingin menonton video penuh bual bicara bersama Messi: