Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi bertekad untuk menghadirkan kebahagiaan buat para peminat di seluruh dunia susulan kembalinya Barcelona beraksi dalam saingan La Liga pada awal pagi esok.
Aksi yang berlangsung pada jam 4.00 pagi itu menyaksikan The Blaugrana bakal berkunjung ke Iberostar Stadium untuk berdepan kelab kelompok bawahan, Mallorca.
Perlawanan sulung buat kedua-dua pasukan ini boleh diibaratkan sebagai pertembungan antara langit dan bumi kerana Barcelona pada ketika ini sedang memimpin La Liga dengan 58 mata manakala Mallorca hanya mengumpul 25 mata untuk berada di kedudukan ke-18.
Selepas tiga bulan tidak beraksi berikutan wabak yang melanda dunia, Messi merasakan ‘kehadiran semula’ saingan bola sepak disifatkannya sebagai satu anugerah dan beliau gembira untuk kembali beraksi.
”Jauh daripada bola sepak membuatkan saya terfikir,” ujar Messi menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Saya juga merasakan perkara yang sama seperti pemain bola sepak lain. Saya hanya mahu untuk beraksi.”
”Dan untuk [kembali] bermain bola sepak adalah satu anugerah. Lebih-lebih lagi apabila ia disokong orang ramai orang.”
”Untuk dapat memberi inspirasi kepada orang lain dan menjadi inspirasi. Dan mungkin ini adalah anugerah hebat buat semua: untuk mencipta kebahagiaan buat orang lain.”
”Jadi, sekarang bola sepak sudah kembali, saya sudah bersedia untuk menerima ‘hadiah’ itu sekali lagi,” tambah Messi lagi.
Barcelona pada ketika ini sedang mendahului musuh tradisi mereka, Real Madrid dengan kelebihan dua mata.
Sementara itu, Messi juga sedang mendahului senarai penjaring terbanyak liga musim ini apabila berjaya menjaringkan 19 gol, berkelebihan lima jaringan berbanding karim Benzema.