Status bekas jurulatih akademi Bayern Munich, Lim Teong Kim akhirnya terjawab apabila Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan beliau kekal sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sehingga kontraknya luput pada Oktober 2019.
Selain itu, salah seorang daripada jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Saad Ichalalene, diberi mandat sebagai pengarah projek program tersebut.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, program NFDP ini juga distrukturkan semula selepas siri perbincangan yang membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Aspek pengurusan akan diselia MSN sambil FAM menawarkan khidmat sokongan teknikal.
“Unit bola sepak NFDP yang sebelum ini bergerak berasingan akan diletakkan kembali di bawah struktur Bahagian Atlet MSN. Sekretariat sedia ada NFDP akan dibubarkan manakala Teong Kim dikekalkan selaku pengarah teknikal AMD serta jurulatih sehingga tamat kontrak pada 31 Oktober 2019.
“Kerajaan Malaysia telah membuktikan bahawa kami komited dalam bola sepak, khususnya peringkat akar umbi. Belanjawan tahun depan bakal menyaksikan dana sebanyak RM15 juta akan digunakan untuk pembangunan NFDP,” kata Syed Saddiq.
Program NFDP bantu Malaysia capai sasaran layak ke Piala Dunia 2030
Syed Saddiq turut menjelaskan pihaknya akan bekerjasama dengan FAM bagi memastikan misi ke Piala Dunia 2030 tercapai selaras dengan pelan hala tuju F:30.
Pelan pembangunan akan dimulakan terhadap pemain seawal usia tujuh tahun di mana semua peringkat akar umbi akan didedahkan dengan asas bola sepak yang betul.
“Program pembangunan bola sepak akan diteruskan. Pembangunan bola sepak ini penting dan FAM sasar Malaysia layak ke Piala Dunia 2030.
“Pelan pembangunan kita adalah seawal tujuh tahun. KBS akan bekerja sama dengan FAM dan saya sokong usaha itu. Hubungan itu akan dilakukan dengan lebih erat,” katanya dalam sinar harian,