Lim Teong Kim Hantar Skuad Kedua Ke Kejohanan AFF B-16

Pengendali skuad Bawah 16 tahun negara, Lim Teong Kim mengesahkan pihaknya akan menghantar skuad kedua ke kejohanan AFF yang berlangsung pada hari Ahad ini di Indonesia.

Skuad yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu mempunyai 45 orang pemain dan Teong Kim masih merahsiakan tonggak utama pasukan yang akan dibawa ke kejohanan AFC pada bulan September depan.

Jurulatih yang pernah membimbing pasukan muda Bayern Munich itu mahu membentuk ‘squad depth’ yang mantap dengan memberi peluang kepada pemain simpanan beraksi sepenuhnya dalam saingan AFF.

“Kejohanan AFF tahun ini merupakan peluang untuk pemain simpanan mendapatkan pengalaman bermain dalam perlawanan kompetitif. Mereka perlu membuktikan kemampuan untuk dipilih dalam skuad utama yang beraksi dalam saingan AFC.

“Saya sudah kenalpasti beberapa pemain yang akan mewakili negara di kejohanan AFC dan semua pemain dalam kalangan 45 orang ini perlu bersaing untuk merebut tempat,” katanya.

Difahamkan skuad kedua yang dihantar ke Indonesia dibimbing oleh Raja Azlan Shah Raja So’ib. Dalam kejohanan AFF itu, Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Thailand pada Isnin, 30 Julai diikuti Brunei (3 Ogos), Singapura (5 Ogos) dan Laos (7 Ogos) dengan kesemua aksi di Stadium Joko Samudro.

Teong Kim yang diletakkan sasaran untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan, sudah pastinya tidak senang duduk dengan keputusan perlawanan persahabatan yang menyaksikan skuad muda negara tewas 2 kali (0-2,0-4) kepada Korea Selatan dan terbaru tewas kepada India, 1-2.

Mereka juga  meraih kemenangan tipis 4-3 ke atas Indonesia dan membelasah Kemboja 4-0. Mengulas mengenai kekalahan kepada India kelmarin, Teong Kim menjelaskan anak buahnya masih melakukan kesilapan mudah terutamanya di benteng pertahanan.

“Pemain tidak bersungguh-sungguh untuk menahan asakan lawan. Selepas kita lepas satu gol, pemain takut memegang bola.

“Ini masalah pemain kita. Saya sudah banyak kali mengingatkan, supaya tidak putus asa walaupun ketinggalan. Kalau lawan bermain dengan kasar, kita pun perlu bermain macam itu,” katanya kepada Berita Harian selepas perlawanan.

Bagi jurulatih India, Fernandes Bibiano, beliau tidak menyangka pasukannya mampu meraih kemenangan ke atas tuan rumah yang sudah lama di bentuk berbanding skuad kendaliannya yang baharu setahun dikumpulkan.

“Pemain saya semakin matang dari masa ke semasa. Selepas ini kami akan menyertai dua lagi kejohanan di Jordan dan Kyrgyzstan hujung bulan depan. Saya yakin jika kami bermain seperti ini, kami boleh melepasi peringkat kumpulan nanti,” katanya.

Saingan AFC dijadualkan berlangsung 20 September depan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Thailand dan Tajikistan, manakala India, Iran, Vietnam dan Indonesia beraksi dalam Kumpulan C.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN