Liga Super: Umpama Baru Belajar Sepak Bola, Kedah Mudah ‘Diratah’ JDT

Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi mangsa terbaharu buat gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pasukan tersebut ditewaskan menerusi keputusan penuh 0-6.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu, tuan rumah jelas tidak memberi sebarang ihsan buat Kedah dengan mendominasi perlawanan secara keseluruhan sepanjang 90 minit aksi berlangsung.

Enam gol JDT masing-masing diledak oleh Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman, serta Leandro Velazquez yang mempamerkan ketajaman di hadapan gawang gol Kedah.

Lima minit awal permainan menyaksikan kedua pasukan seimbang mengawal permainan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa sebarang percubaan berbahaya dibuat.

JDT perlahan-lahan mula menguasai posisi tengah padang dengan beberapa hantaran pendek dibuat untuk memastikan bola sentiasa menjadi milik mereka berbanding pelawat.

Kelibat Bojan Ciger di bahagian pertahanan jelas menyelamatkan Kedah daripada beberapa ancaman cuba dibuat oleh tuan rumah untuk mendapatkan gol awal permainan.

Bergson hampir mendapatkan gol awal buat tuan rumah pada minit ke-10, namun rembatan pemain tersebut sedikit tersasar selepas mendapat lorongan cantik daripada Arif Aiman.

Tidak lama kemudian, giliran Juan Muniz pula tiba untuk membuat satu percubaan deras daripada jarak jauh sebelum rembatan tersebut sedikit tersasar daripada gawang gol Kedah.

JDT akhirnya memperoleh gol pertama mereka menerusi Forestieri yang bijak membuat tolakan ke dalam gawang gol Kedah hasil sepakan sudut yang diambil oleh tuan rumah pada minit ke-23.

Secara keseluruhan, Kedah kerap membuat kesilapan sendiri yang membuka banyak ruang buat tuan rumah untuk mengambil peluang mencipta peluang-peluang berbahaya.

Sebelum memasuki masa penamat separuh masa pertama, Kedah dilihat mula mara lebih jauh untuk mencipta beberapa gerakan positif di kubu pertahanan lawan bagi mendapatkan kembali gol penyamaan.

JDT tidak mengambil masa yang lama untuk menambah gol kedua mereka, dengan kali ini Feroz berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz menerusi satu tandukan kencang pada minit ke-48.

Selang seminit kemudian, giliran Oscar Arribas pula terus meledak gol ketiga buat JDT menerusi sepakan kencang dilepaskan dalam petak penalti untuk meletakkan tuan rumah selesa 3-0.

Kedah seolah dirundung malang, selepas pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-50, setelah tindakan Akmal Zahir kurang cermat untuk menjatuhkan Bergson.

Bergson mudah menyempurnakan peluang tersebut untuk terus menggamatkan para penyokong di SSI yang bersorak riang meraikan gol tersebut.

Tersentak dengan tiga gol pantas tersebut, Kedah cuba untuk mencipta sesuatu dengan memperkemaskan lagi bentuk-bentuk hantarab mereka di bahagian tengah.

Peluang kebangkitan Kedah terus ditutup rapat dengan penalti kedua diberikan buat tuan rumah, selepas Arif Aiman dijatuhkan dalam petak penalti hasil kekasaran dibuat oleh Azrin Afiq.

Namun sepakan penalti tersebut sedikit kontroversi, selepas ianya dibatalkan oleh pengadil dan keputusan masih kekal berpihak buat tuan rumah dengan keputusan semasa 4-0.

Arif Aiman tampil dengan gerakan cukup memukau untuk mengelirukan pertahanan serta penjaga gol lawan bagi meletakkan JDT 5-0 di hadapan pada minit ke-76.

Leandro Velazquez tampil mencipta nama selaku penjaring gol terakhir buat JDT bagi meletakkan tuan rumah selesa menerusi keputusan 6-0 di laman sendiri.

Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak buat JDT yang mudah menewaskan Kedah menerusi enam jaringan tanpa berbalas di SSI bersama prestasi cukup baik buat tuan rumah.

Kesebelasan utama

Johor Darul Ta’zim (JDT): Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga gol), Matthew Thomas Davies, Jordi Amat Maas (Kapten), Nathaniel Shio Hong wan, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Muhamad Feroz Baharudin, Juan Muniz Gallego, Endrick dos Santos Parafita, Oscar Pasero Arribas, Arif Aiman Mohd Hanapi, Fernando Martin Forestieri

Kedah Darul Aman (Kedah): Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Penjaga gol), Mohd Akmal Md Zahir, Rodney Celvin Akwensivie, Bojan Ciger, Amirbek Juraboev, Manuel Gelito Ott (Kapten), Willian Lira Sousa, Lee Andrew Tuck, Mohamad Heshamudin Ahmad, Muhamad Kamil Akmal Abd Halim, Manuel Federico Hidalgo Gasparini

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN