Rekod tanpa kalah Terengganu FC kepada Selangor FC dalam semua kejohanan sejak Mac 2019 diteruskan dengan kemenangan 2-0 dalam aksi minggu ke-6 Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selangor mengasak benteng Terengganu dua kali dalam tempoh enam minit menerusi hantaran lintang Fazly Mazlan yang gagal disudahkan Caion pada minit ke-3, sebelum rembatan liar Fazly Mazlan tiga minit kemudian.
Pelawat lebih mendominasi serangan di awal babak pertama dengan Terengganu cuba mengimbanginya. Selepas 15 minit barulah tuan rumah berhasil untuk bertenang dan merampas sedikit penguasaan aksi.
Faisal Halim mempamerkan betapa berbahayanya beliau jika dibiarkan bermaharajalela. Minit ke-20, selepas menerima hantaran Habib Haroon, Faisal Halim yang bergerak di sebelah kiri berjaya membuat rembatan deras menewaskan Khairulazhan Khalid untuk jaringan pembukaan Terengganu dan jaringan pertamanya musim ini.
20' GOL | Faisal Halim membuka tirai jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin!@FCTerengganu 1-0 @selangorfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/o5W1AGuuXN
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 22, 2022
Minit ke-27, penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim berjaya menepis percubaan Caion yang menerima hantaran lolos daripada Mukhairi Ajmal sebelum tandukkan Shahrel Fikri yang hanya sedikit melewati palang.
Ketiadaan Kpah Sherman meletakkan Kipre Tchetche selaku penggempur utama Sang Penyu. Peranan yang berbeza tentunya disebabkan Kipre Tchetche dilihat tidak menjadi target man sepertimana Kpah Sherman. Namun, kehadirannya tidak dirasai di babak pertama dengan Faisal Halim lebih menonjol dari kem mereka.
Hantaran lintang bek kiri, Arif Fadzilah di minit ke-37 berjaya dikeluarkan Sharul Nazeem sebelum Syafik Ismail membuat rembatan susulan yang sedikit tersasar ke sisi kiri gawang gol yang dikawal Khairulazhan Khalid. Seminit sebelum berakhir babak pertama, tandukkan Mukhairi Ajmal sedikit tersasar di sebelah kanan gawang.
Kedua-dua pasukan mempamerkan gerakan yang baik dalam menjana asakan, yang membatasi adalah keberkesanan jentera serangan untuk membuat cubaan berbahaya disamping disiplin tinggi benteng mereka.
Bermula babak kedua, Michael Feichtenbeiner membuat dua pertukaran awal dalam usaha untuk kembali ke dalam perlawanan dengan kemasukkan Zikri Khalili dan Syahir Bashah. Hasilnya minit ke-52, Syahir Bashah melepaskan percubaan pertamanya, namun ia tersasar sebelum rembatan Yazan Al-Arab ditepis Rahadiazli.
60' GOL | Tchetche Kipre tenang menyudahkan sepakan penalti untuk gol kedua Terengganu FC!@FCTerengganu 2-0 @selangorfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/0sA1Uno8p1
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 22, 2022
Lima minit kemudian, Yazan Al-Arab dipersalahkan dan memberikan tuan rumah sepakan penalti dan ia disempurnakan Kipre Tchetche pada minit ke-60 untuk Terengganu mendahului aksi dengan dua gol.
Lapan minit kemudian, Kipre Tchetche memiliki peluang untuk menambah jaringan, tetapi percubaannya berjaya diselamatkan Khairulazhan Khalid. Masih tiada impak besar daripada dua pertukaran awal apabila Selangor dilihat masih bergelut dalam cubaan untuk menghasilkan sesuatu terutamanya percubaan berbahaya.
Malah Sang Penyu yang tampak berterusan menekan The Red Giants dengan pada minit ke-76, rembatan Hakimi Abdullah berpunca daripada sepakan percuma telah ditepis Khairulazhan Khalid sebelum dua minit kemudian Manuel Ott melepaskan peluang menambah jaringan buat tuan rumah dengan rembatan tersasar.
Minit ke-80, Khairulazhan Khalid sekali lagi menampilkan ketangkasannya dengan menyelamatkan percubaan Kipre Tchetche yang berhasil melepaskan diri daripada kawalan benteng pelawat. Kombinasi Kipre Tchetche dan Hakimi Abdullah menghadirkan bahaya kepada Selangor yang langsung disenyapkan di babak kedua.
Kemenangan 2-0 Terengganu ini membolehkan mereka meneruskan rentetan tanpa kalah kepada Selangor untuk tempoh tiga tahun. Mereka berjaya merekodkan kemenangan kedua selepas empat perlawanan dan kemenangan kedua berturut-turut selepas ditewaskan dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.