Episod malang Selangor nampaknya terus berpanjangan apabila tewas buat kali ketiga-tiga dalam aksi Liga Super selepas ditundukkan PJ City 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
The Red Giants yang dibimbang oleh ketua jurulatih Interim, Nidzam Jamil membuat beberapa pertukaran dalam barisan kesebelasan utamanya berbanding ketika tewas kepada Terengganu tempoh hari.
Pemain muda Harith Haiqal diberi tanggungjawab mengemudi barisan pertahanan selain menurunkan Nor Hakim Hassan dan penyerang import Hyuri Henrique.
20 minit pertama perlawanan menyaksikan Selangor lebih banyak menguasai perlawanan terutamanya kawalan bola di bahagian tengah, tetapi barisan pertahanan PJ City berjaya mengekalkan disiplin untuk menyerap setiap tekanan.
Selangor jelas bergelut untuk mengatasi corak defensif yang dipamerkan skuad PJ City meskipun berjaya menghasilkan beberapa percubaan tepat ke arah gol, namun kedudukan 0-0 terus kekal sehinggat tamat separuh masa pertama.
Hanya dua minit selepas bermula babak kedua, Selangor terus bernafsu memburu jaringan pembukaan tetapi penjaga gol Kalamullah Al Hafiz lebih bersedia untuk mematahkan percubaan Mukhairi Ajmal.
Tetapi PJ City lebih bijak mengambil kesempatan untuk meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-58 menerusi kelincahan Darren Lok.
Naluri pemusnah dimiliki penyerang kebangsaan tersebut menyaksikan beliau bijak mengatasi kawalan Harith Haiqal dengan satu kuisan dan pusingan ke belakang sebelum melepaskan rembatan menewaskan Sam Somerville.
Selangor mendapatkan peluang untuk mendapatkan gol penyamaan apabile mendapat sepakan percuma dari jarak dekat, tetapi percubaan Shahrel Fikri sekadar mengenai benteng.
Kemasukan Quentin Cheng dan Hein Htet Aung pada 20 minit terakhir juga nampaknya masih gagal untuk menghasilkan jaringan buat Selangor meskipun menguasai sepenuhnya aksi pada penghujung perlawanan.