Liga Super: Sarawak Jadi Mangsa Amukan KL City, Ryan Lambert Catat Hatrik

KL City Liga Super Ryan Lambert

Jaringan hatrik Ryan Lambert memastikan Kuala Lumpur (KL) City kenduri gol ke atas Sarawak United dengan kemenangan 5-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Zhafri Yahya dan Declan Lambert yang baru sahaja kembali dari tugasan antarabangsa terus diletakkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak di samping mengekalkan pemain-pemain utama di posisi lain.

Gol pertama KL City terhasil dari hantaran lintang J. Partiban dari sebelah kiri ke dalam kotak penalti sebelum Akram Mahinan membuat ‘dummy’ dengan membiarkan bola kepada Paulo Josue yang langsung tidak dikawal.

Penyerang import dari Brazil itu dengan mudah melepaskan tendangan menewaskan penjaga gol Sharbinee Alawee untuk jaringan pembukaan perlawanan pada minit ke-28.

Hanya seminit berselang, Declan Lambert membuat satu voli kencang dari luar kotak penalti yang terus menerjah masuk ke dalam gawang Sarawak United untuk pasukan tuan rumah selesa dengan dua gol.

Pemain kacukan Malaysia-Australia tersebut terus mencuri tumpuan dengan meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini menerusi percubaan dari luar kotak penalti.

Masuk babak kedua, Ryan Lambert mencatat hatrik pertama dalam kariernya dengan sekali lagi menampilkan teknik yang cukup cantik dengan rembatan padu dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Paulo Josue.

Gol kelima KL City disumbangkan oleh penyerang import Jordan Mintah yang hanya memerlukan dua minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dengan satu tolakan yang terbias pada kaki Amer Saidin.

Kemenangan ini pastinya menjadi tonik terbaik buat skuad ibu kota yang akan terbang ke Uzbekistan bagi menghadapi perlawanan penting peringkatnakhir antara zon bagi kejohanan Piala AFC.

“Bagus untuk dia [Ryan Lambert] untuk menjaringkan hatrik dan kemenangan ini memberikan keyakinan kepada kami untuk aksi di Uzbekistan,” ujar Bojan Hodak ketika ditemubual oleh media MFL selepas perlawanan.

“Untuk dua perlawanan terakhir, ia nampak berbeza pada hari ini. Ada perlawanan kita sukar untuk jaringkan gol, tetapi malam ini setiap percubaan kita telah berjaya menghasilkan gol.”

KL City yang sudah beraksi 20 perlawanan musim ini berjaya memperbaiki kedudukan dengan menghuni tangga kelima liga dengan mengumpul 29 mata, sementara Sarawak United pula kekal di tangga kedua tercorot.

Leave a Reply