Musim ini boleh dikatakan Negeri Sembilan menjadi antara pasukan yang serba tidak begitu baik daripada segi persiapan sehingga kepada keputusan permainan di atas padang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Tampil dengan persiapan yang sederhana menerusi beberapa muka baharu yang ditandatangani, Negeri Sembilan dilihat sedikit bergelut ketika ini dalam saingan Liga Super selepas mengharungi beberapa perlawanan.
Terbaharu, pasukan kendalian K. Devan itu muncul dengan rekod tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan yang menyaksikan mereka keciciran mata untuk merebut kedudukan lebih baik dalam carta liga.
Untuk aksi seterusnya, Negeri Sembilan bakal menghadapi cabaran daripada Kuala Lumpur City (KL City) yang akan berlangsung pada Ahad ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Beraksi di laman sendiri, pastinya pasukan tersebut tidak rela keciciran sebarang mata dan bakal menggunakan kelebihan tersebut untuk mencari kemenangan yang dinantikan mereka.
Untuk rekod tiga perlawanan terakhir dihadapi Negeri Sembilan, pasukan tersebut hanya mampu mencatat dua kali seri serta satu kekalahan untuk mengutip dua mata.
Dua keputusan seri itu diraih ketika Negeri Sembilan berdepan Perak dan Sabah, sementara itu mereka mengalami kekalahan di laman sendiri sewaktu menghadapi cabaran Kedah Darul Aman (Kedah).
Menjelang aksi berdepan KL City, pembantu ketua pasukan iaitu Nasrullah Hanif Johan mengakui Negeri Sembilan bakal berdepan cabaran getir untuk memastikan mereka tidak terus keciciran mata.
Menerusi rekod semasa yang positif ditampilkan oleh KL City sebelum ini, pastinya mereka tidak akan memberi laluan mudah buat Negeri Sembilan untuk cuba bangkit meraih kemenangan.
“Melihat kepada kedudukan terkini KL City itu menunjukkan satu cabaran besar bagi kami ketika turun berhadapan dengan pasukan berkenaan, Ahad nanti, namun kami akan menggunakan peluang dan kelebihan yang ada untuk mendapatkan kemenangan.
“Pasukan kami tidak boleh keciciran mata dan perlu menang dalam aksi itu untuk mengejar kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.
“Untuk itu, semua pemain perlu memberikan komitmen tinggi dalam tempoh 90 minit perlawanan dengan menterjemahkan setiap perancangan jurulatih, bagi mengelak pasukan ketinggalan lebih jauh dalam liga,” katanya menerusi Harian Metro.
Menerusi rekod semasa, Negeri Sembilan berada di kedudukan kesembilan dalam carta Liga Super hasil 10 mata diraih selepas mencatat dua kemenangan bersama empat kali keputusan seri daripada sembilan perlawanan dihadapi.