Nama pemain naturalisasi negara iaitu Paulo Josue sering menjadi sebutan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini kerana reputasi ditampilkan beliau sangat positif.
Apa tidaknya, Josue menjadi antara pemain yang sangat menyerlah ketika mewakili skuad kebangsaan baru-baru ini dalam dua aksi persahabatan Harimau Malaya dengan menyumbang empat jaringan.
Malah, momentum tersebut diteruskan dengan sangat baik ketika beliau membantu Kuala Lumpur City (KL City) untuk mara ke pusingan akhir Piala FA sewaktu mereka berdepan cabaran Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super, KL City bakal menghadapi satu lagi aksi getir iaitu bertemu gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bertemu JDT, pastinya ia berpihak kepada pasukan lawan daripada segenap aspek kekuatan semasa serta prestasi mereka yang masih belum ditewaskan sehingg kini.
Maka ia menjadi satu cabaran besar buat skuad kendalian Bojan Hodak untuk menampilkan segalanya yang positif bagi mengekang kemaraan lawan daripada mencipta jaringan besar.
Malah, KL City juga pastinya mempunyai cita-cita untuk menjadi antara pasukan yang berjaya merobek gawang lawan selepas hanya Kelantan dan Terengganu sahaja ketika ini berjaya membolosi skuad kendalian Esteban Solari.
Antara nama pemain yang dijangka mungkin akan membolosi gawang lawan pastinya terarah kepada pemain tengah KL City iaitu Josue selepas bintang utama itu berada dalam prestasi terbaik.
Musim ini Josue menjadi pemain paling aktif di posisi serangan utama KL City selepas beliau berjaya meledak enam gol serta tiga bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 14 perlawanan dihadapi.
Kualiti yang dimiliki Josue pastinya terarah kepada kreativiti beliau dalam membuka ruang untuk rakan sepasukan lain menyerang serta keupayaan pemain itu meledak gol daripada sudut sukar.
Ianya pasti disedari oleh pertahanan tuan rumah yang dijangka akan memperketatkan posisi pertahanan mereka untuk mengelakkan sesuatu tidak dijangka berlaku di laman sendiri malam ini.
Apapun, KL City sendiri juga perlu berwaspada akan ancaman lawan yang diakui memiliki rantaian pemain serangan cukup berkualiti sejak beberapa musim terutama sekali bintang tumpuan mereka, Arif Aiman Hanapi.
Perlawanan ini bakal menjadi medan terbaik buat kedua pasukan tersebut untuk menguji antara satu sama lain sebelum melangkah ke pentas final Piala FA 2023 tidak lama lagi.