Selangor bakal meneruskan saingan Liga Super mereka dengan bertandang ke Likas untuk berdepan Sabah dalam aksi pertama mereka selepas sambutan Aidilfitri.
Motivasi skuad Tan Cheng Hoe pastinya sedang memuncak ketika ini selepas mengharungi aksi-aksi bulan Ramadan dengan cukup hebat.
Sepanjang Ramadan, Selangor tidak mencatatkan sebarang kekalahan sebaliknya menang semua dalam aksi yang diadakan di laman mereka sendiri.
Kini beraksi buat pertama kali di laman lawan selepas empat perlawanan (tiga liga, satu piala), Selangor berdepan tugas getir dalam mempertahankan momentum kemenangan mereka.
Lawan mereka kali ini adalah Sabah, yang dilihat beraksi di bawah par sejak akhir-akhir ini dengan mencatatkan beberapa keputusan yang tidak konsisten.
Hanya mencatatkan dua kemenangan dalam lima aksi terakhir liga, skuad Datuk Ong Kim Swee jelas tidak menepati status mereka sebagai antara pencabar gelaran Liga Super musim ini.
Walaupun hanya mengutip tujuh mata daripada 15 yang ditawarkan dalam lima aksi terakhir, Selangor tidak boleh memandang rendah kehebatan Sabah kerana dua kemenangan diperoleh mereka semuanya di tempat sendiri.
Dua kemenangan terakhir Sabah dalam saingan liga semuanya berlaku di laman sendiri dan ianya terhasil dengan jaringan besar.
Mereka menang 5-2 ke atas Penang serta membelasah Kelantan 6-1 memberikan isyarat jelas kepada Selangor yang Likas bukanlah tempat mudah untuk mereka mengutip tiga mata.
Dengan mencatatkan 11 gol serta hanya bolos tiga, Gergasi Merah perlu berada pada tahap permainan terbaik mereka bagi menewaskan Sabah.
Di pihak Selangor pula, mereka tidak ada masalah untuk menjaringkan gol. Selangor juga baru saja segar dengan kemenangan 5-1 ke atas Terengganu sebelum cuti Aidilfitri.
Dinamik serangan mereka juga kelihatan semakin baik dan sumber jaringan bukan sahaja tertumpu kepada satu-satu pemain sahaja.
Pemain-pemain seperti Faisal Halim, Brendan Gan malah Ayron del Valle juga yang semakin meningkat prestasinya bole memberikan ancaman kepada Sabah.
Malah, mereka juga ada wildcard seperti Rauf Salifu yang boleh mewujudkan bahaya jika diperlukan.
Semestinya aksi melibatkan kedua-dua pasukan ini pastinya sengit. Siapakah yang akhirnya akan bawa pulang tiga mata?
Semoga berjaya untuk kedua-dua pasukan.