Umpama ‘Menu Rahmah’, Kuching City FC jadi santapan dan dibelasah 0-5 oleh Selangor FC dalam perlawanan kedua Liga Super 2023, sebentar tadi.
Selangor turun dengan sedikit perubahan, namun mempamerkan prestasi dan permainan lebih baik saat berkunjung ke laman lawan, Stadium Negeri, Kuching. Sebaliknya berlaku, Kuching City yang dilihat sangat bergelut.
Tidak sampai lima minit, The Red Giants di depan hasil ledakan penyerang, Noor Al-Rawabdeh selepas menerima hantaran oleh Hein Htet Aung. Itu merupakan jaringan pertamanya di Liga Super dan bersama Selangor.
Tuan rumah cuba bangkit dengan segera, namun percubaan oleh kapten, Muhammad Adam Shreen hanya sekadar singgah di tiang gawang yang dikawal Khairulazhan Khalid, dua minit selepas lawan meledak gol.
Itu menjadi satu-satunya percubaan berbahaya yang berjaya dicipta anak didik Irfan Bakti dalam aksi babak pertama. Selepas itu, mereka lebih banyak mengikut rentak dan menyerap setiap asakan daripada Selangor.
Minit ke-9, sekali lagi pelawat berhasil mencipta jaringan. Kali ini giliran Ayron del Valle menerusi rembatan placing dari sudut kiri ke kanan untuk menewaskan Norazlan Razali selepas menerima hantaran Brendan Gan.
Htet Aung hampir meledak gol apabila rembatannya ditepis Norazlan pada minit ke-22, sebelum seminit kemudian sekali lagi penjaga gol veteran itu berjaya menafikan peluang Faisal Halim di depan gawang tuan rumah.
Babak kedua bermula dengan jaringan ketiga oleh Selangor selepas Al-Rawabdeh sekali lagi menggegar gawang. Ia berpunca daripada hantaran kemas oleh Faisal yang mula mempamerkan sedikit keserasian permainan.
Selangor mempamerkan dominasi yang baik untuk perlawanan kedua mereka ini. Kuching City langsung tiada ruang untuk mengatur asakan.
Brendan akhirnya berjaya mencipta jaringan ke-4 buat mereka selepas menerima hantaran ‘cut-back’ oleh Faisal di minit ke-65. Ia juga satu jaringan mudah selepas tiada sebarang cabaran dilakukan oleh benteng.
Danial Asri menambah derita buat The Cats apabila percubaannya berjaya menggegar jaring selepas menerima hantaran lintang oleh Zikri Khalili pada minit ke-73. Norazlan berterusan gagal untuk menafikan percubaan lawan.
Apa lagi yang boleh dilakukannya apabila benteng pasukannya dilihat sangat rapuh dan membiarkan lawan bermaharajalela dalam kotak penalti?
Yang boleh dikatakan, Selangor berjaya meraih tiga mata penuh selepas menjadikan Kuching City sebagai santapan ‘Menu Rahmah’ di Kuching.