Liga Super: Kelebihan 2 Gol Sia-Sia, Selangor ‘Terciduk’ Di Laman Sendiri Dihukum Gol Minit Akhir Sean Selvaraj

Sean Selvaraj Selangor Negeri Sembilan

Malam yang cukup memeritkan buat Selangor selepas tewas 3-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di laman sendiri, apatah lagi apabila dibolosi pada minit-minit akhir oleh jaringan bekas pemain sendiri.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya itu, Sean Selvaraj yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira buat buat skuad Jang apabila menjaringkan gol yang cukup menarik pada penghujung perlawanan walaupun pasukannya ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

Selangor jelas begitu ampuh pada babak pertama apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang berbisanya Herlison Caion seawal minit kelapan sebelum Yazan Al-Arab menambah gol kedua yang mencetus kontroversi pada minit ke-30.

Namun beberapa perubahan yang dibuat oleh K. Devan pada separuh pertama kedua dengan membuat pertukaran pemain dan posisi beberapa pemain ternyata membuahkan hasil.

Kebangkitan Negeri Sembilan bermula pada minit ke-67 apabila sepakan percuma kencang Gustavo Almeida terus menerjah ke jaring gol Selangor.

Bekas pemain import UiTM dari Brazil itu kemudian sekali lagi menghukum benteng Selangor dengan menanduk masuk hantaran dari sepakan percuma Khuzaimi Piee pada minit ke-80.

Sean Selvaraj yang dibawa masuk menggantikan Yasir Pinto membalas kepercayaan kepadanya dengan jaringan yang cukup cantik pada minit ke-88 apabila melengkungkan bola jauh dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Sam Sommerville yang hanya terpaku melihat bola menjunam masuk ke dalam gawangnya.

Leave a Reply