Kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memburu kemenangan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menemui jalan buntu selepas sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super.
Dua jaringan tersebut masing-masing dijaringkan oleh Romel Morales pada penghujung babak pertama sebelum Hariss Harun menyelamatkan JDT dengan gol penyamaan pada separuh masa kedua.
Pada separuh masa pertama jelas kedua-dua pasukan mengambil pendekatan berhati-hati, tetapi JDT sempat mengancam kubu pasukan tuan rumah menerusi percubaan Leandro Velazquez dan Gonzalo yang menggegar tiang serta palang gol.
Tambahan masa tiga minit yang diberikan pada separuh masa pertama dimanfaatkan sepenuhnya oleh KL City dengan jaringan pembukaan oleh Romel Morales yang bijak mengatasi perangkap ofsaid dan mengawal bola dari tandukan Fakhrul Aiman untuk meletakkan pasukannya mendahului 1-0.
Setelah mula menampilkan watak sebenarnya pada awal babak kedua dan mendapat beberapa peluang, JDT akhirnya beroleh gol penyamaan menerusi tandukan kapten Haris Harunn yang menyambut sepakan penjuru Nazmi Faiz pada minit ke-55.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga pengadil meniup wisel menandakan tamat permainan. Ia merupakan perlawanan kedua berturut-turut pendahulu liga itu gagal mengutip tiga mata penuh selepas tewas 1-0 kepada Terengganu pada minggu lalu.
Perkembangan tersebut menyaksikan persaingan Liga Super semakin menarik dengan JDT kini memimpin carta Liga Super hanya dengan perbezaan satu mata sahaja mengatasi Kedah yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat.
Sekiranya Terengganu menang menentang Penang pada malam esok, pasukan dari pantai timur itu akan menyamai 24 mata yang dimiliki JDT ketika ini.
Kredit Foto: Kuala Lumpur City
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Liga Super: 2 Gol Kpah Sherman Bantu Kedah Tundukkan Melaka United
Gandingan Endrick dan Danial Ashraf Mampu Kucar-Kacirkan Terengganu?
3 Perlawanan Di Stadium Likas, Kurniawan Mahu Sabah Kutip 9 Mata Maksimum