3 Perlawanan Di Stadium Likas, Kurniawan Mahu Sabah Kutip 9 Mata Maksimum

Kurniawan Dwi Yulianto Sabah

Menjelang tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri selepas ini, Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berharap kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukannya bagi memperbaiki kedudukan mereka di saingan Liga Super.

Skuad Sang Badak itu bakal dipertemukan dengan Perak, Melaka United dan Kedah dalam tempoh lapan hari sebelm saingan liga berehat selama dua bulan untuk memberi laluan kepada latihan pusat skuad kebangsaan dan aksi antarabangsa.

Kurniawan ketika ditemubual Media MFL menjelaskan beliau semakin berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan anak buahnya selepas tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

Namun baginya ia bukan tiket untuk semua pemainnya berasa selesa dan menumpukan perhatian sebaiknya kepada tiga perlawanan tersebut bagi memburu kedudukan enam teratas liga.

Beliau turut memberi peringatan agar mereka bekerja keras dalam setiap perlawanan kerana tiada sesiapa dalam pasukan yang telah terjamin tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa ini peluang buat Sabah tampil dengan lebih bersemangat kerana bermain di hadapan penyokong sendiri dan harap kami sudah tekad untuk pergunakan kesempatan ini sebaiknya bagi meraih mata penting,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.

“Namun, jangan mudah terlalu yakin dan saya mahu mereka semua sentiasa bekerja keras serta kekalkan fokus dalam perlawanan yang kita lalui, bermula dengan Perak, Ahad ini.

“Aksi dengan Perak dan Melaka United antara dua perlawanan yang kami kena cuba menang kerana kedua-dua pasukan sedang berada dalam kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain selain cuba bersaing dengan Kedah.”

Sabah sebelum ini berjaya mengikat Selangor 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Penang 1-1 di Stadium Bandaraya selain membenam UiTM 4-0 di Stadium Likas.

Menduduki tempat kesembilan Liga Super dengan 10 mata, Sabah FC hanya satu mata mengatasi Perak selain dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang meletakkan Melaka di tempat kelapan.

Dalam pada itu, Kurniawan mengharapkan semua peminat Sabah agar dapat memberikan ruang kepada penyerang import dari Liberia, Sam Johnson, yang dikatakan gagal memperagakan prestasi terbaik apabila sekadar meledak dua jaringan setakat ini.

Kritikan itu datang selepas penyerang tersebut gagal memberikan impak yang diharapkan dalam beberapa perlawanan seperti bertemu Selangor yang menyaksikannya tidak berupaya memberikan cabaran kepada pertahanan lawan.

“Dia sebenarnya seorang pemain yang bagus berdasarkan penilaian kami, cuma kali ini nampak dia seperti kurang lasak tetapi daripada segi taktikal, dia telah mengikut apa yang kita harapkan,” katanya lagi.

“Sam boleh menarik dua pemain pertahanan untuk berada berhampirannya serta mengawal bola, situasi ini banyak membuka ruang kepada pemain lain dalam melakukan percubaan.

“Saya faham apa diperkatakan oleh penyokong Sabah dan terima kasih atas keprihatinan mereka tetapi dia masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan.”

Kredit Foto: Sabah FC

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan (Mac 2021) PFAM-ASIANA.MY Milik Arif Aiman

Baki 3 Perlawanan Penentu Transaksi Di Jendela Perpindahan Selangor

Rowley: Penang Pasukan Kecil Tapi Pemain Ada Mentaliti Menang

Leave a Reply