Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak terbaik mereka dalam saingan Liga Super, setelah pasukan tersebut cemerlang menewaskan Kelantan United menerusi keputusan penuh 6-0 untuk terus menggenggam tiga mata penuh musim ini.
Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), tuan rumah jelas tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengetepikan pelawat setelah menguasai hampir keseluruhan padang sepanjang perlawanan berlangsung.
Johor Darul Ta’zim raih kemenangan ke-10 berturut-turut dalam saingan Liga Super.#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/i0UkkCWrGr
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 13, 2023
Paling mencuri tumpuan pastinya terarah kepada penyerang utama JDT iaitu Bergson da Silva, selepas pemain kelahiran Brazil itu meledak jaringan hatrik pertama pada musim ini.
Malah, aksi ditampilkan oleh penyerang itu juga sangat memberi impak kepada serangan JDT menerusi kombinasi permainan beliau bersama Fernando Forestieri begitu tajam sepanjang saingan berlangsung.
Awal permainan menyaksikan JDT tampil dengan siri-siri serangan berbahaya menerusi pelbagai arah dalam usaha untuk mendapatkan gol pertama yang dicari.
Pasukan pelawat pula lebih banyak bertahan ketika ini dengan semua pemain berada di kawasan sendiri untuk mengelakkan sebarang kemungkinan bakal dibuat oleh JDT.
Gol yang dicari tiba buat JDT, selepas penyerang utama mereka iaitu Bergson berjaya melepaskan satu rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pelawat pada minit ke-8.
Menerusi gol tersebut, intensiti permainan terus ditingkatkan oleh JDT untuk terus menekan Kelantan United bagi mendapatkan gol kedua buat mereka.
Oscar Arribas hampir mendapatkan gol kedua buat JDT menerusi satu percubaan tepat dari luar kotak penalti, sebelum ianya ditepis keluar penjaga gol pelawat untuk memberi kelegaan sebentar buat Kelantan United.
Kelantan United terus tenggelam dengan permainan pasukan tuan rumah, dengan kali ini giliran Forestieri pula tampil meledak gol kedua buat JDT pada minit-22 selepas menerima satu umpanan cantik dari bahagian tengah.
Sesekali Kelantan United sebenarnya cuba mencipta beberapa gerakan di bahagian tengah menerusi Indra Putra sera OJ Porteria sebelum disekat dengan baik oleh pertahanan JDT.
Secara keseluruhan, JDT lebih banyak mendominasi perlawanan menerusi banyak percubaan berbahaya dibuat mereka dan memaksa Asyraff Omar untuk menepis bola daripada melepasi gawangnya buat kali ketiga.
Bersambung separuh masa kedua, JDT mendapat dua peluang berturut-turut untuk mendapatkan gol ketiga, namun segala percubaan dibuat berjaya dinafikan oleh penjaga gol pelawat.
LIGA SUPER 2023
Starting Line-up
JOHOR DARUL TA'ZIM vs KELANTAN UNITED
JDT: Syihan Hazmi, Matthew Davies, Jordi Amat (c), Hong Wan, Bergson da Silva, Leandro Velázquez, Feroz Baharudin, Endrick, Óscar Arribas, Arif Aiman, Fernando Forestieri
Substitutes: Farizal Marlias, Afiq… pic.twitter.com/SfNjBNjgYv
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 13, 2023
Kelibat penjaga gol Kelantan United iaitu Asyraff Omar jelas menjadi tumpuan, selepas kelibat pemain tersebut cemerlang menafikan banyak peluang keemasan daripada pasukan tuan rumah.
Bergson meneruskan kecemerlangan beliau untuk meledak gol ketiga buat JDT pada minit ke-61 setelah penyerang tersebut menerima satu umpanan menarik daripada Forestieri yang mengelirukan pertahanan lawan.
Malang tidak berbau buat Kelantan United, selepas kesilapan dibuat oleh penjaga gol mereka menjatuhkan Forestieri pada minit ke-67 memberi peluang buat JDT untuk memperoleh sepakan penalti.
Sepakan yang diambil oleh Bergson mudah menewaskan Asyraff Omar untuk mencatat nama selaku penjaring hatrik pada perlawanan malam ini pada minit ke-69.
Tidak lama kemudian, JDT sekali lagi memperoleh sepakan penalti selepas Bergson dijatuhkan pula oleh pertahanan lawan dan terus memberi tekanan besar buat pasukan pelawat.
Kali ini giliran Leandro pula tampil untuk memberi gol kelima buat JDT, selepas rembatan pemain tengah JDT itu tenang melepaskan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-76.
Sebelum perlawanan tamat, Forestieri tampil untuk meledak gol keenam buat JDT pada minit ke-92, setelah penyerang itu tenang menyudahkan peluang terhidang.
HAT-TRICK! 🔥💪🏻#JDTvKLU#LigaSuper2023#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/KYji6u9Glz
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 13, 2023
Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan sekali lagi berpihak kepada JDT selepas mereka memperoleh enam gol tanpa balas di halaman sendiri.
Kesebelasan utama:
Johor Darul Ta’zim (JDT): Syihan Hazmi (Penjaga gol), Matthew Davies, Jordi Amat (Kapten), Nathaniel Shio Hong Wan, Bergson da Silva, Leandro Velasquez, Feroz Baharudin, Endrick dos Santos, Oscar Arribas, Arif Aiman, Fernando Forestieri
Kelantan United: Asyraff Omar (Penjaga gol), Fauzan Fauzi, Yan Victor, Tasnim Fitri, Khairu Azrin, OJ Porteria, Latiff Suhaimi, Sharvin Selvakumaran, Syazwan Zainon, Indra Putra (Kapten), Aqil Hilman