Liga Super: Gol Tunggal Ronald Ngah Ranapkan Impian Sarawak United Di Laman Sendiri

Aksi pembukaan Liga Super musim 2022 menyaksikan Sarawak United bermula dengan langkah kiri di laman sendiri apabila tewas tipis di tangan pasukan pelawat, Kedah Darul Aman.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri itu menyaksikan 1 gol sahaja terhasil menerusi penyerang import pelawat, Ronald Ngah Wanja dengan keputusan penuh 0-1.

Awal permainan menyaksikan Sarawak United terlebih dahulu mengawal permainan untuk cuba mencari gol sulung perlawanan, namun tiada sebarang gerakan cantik berjaya terhasil.

Kedah hampir memperoleh gol pertama seawal dua minit perlawanan setelah hantaran daripada penyerang baharu mereka, Ngah Wanja dari sebelah kanan hampir berjaya disudahkan oleh Syafiq Ahmad sebelum rembatan tersebut mengenai pertahanan Sarawak.

Tidak lama selepas itu, penjaga gol Kedah, Shahril Shaari pula diuji oleh pasukan tuan rumah setelah sepakan percuma yang diambil berjaya menuju ke gawang gol sebelum ditepis keluar pada minit ke-4.

Lima minit permainan berlangsung menyaksikan kedua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol pertama perlawanan namun masing-masing dilihat masih tumpul di bahagian serangan.

15 minit permainan berlangsung, Kedah mula menguasai permainan dengan beberapa siri serangan cuba dilancarkan selain Sarawak United lebih banyak bertahan di kawasan mereka dan mengharapkan detik mencipta serangan balas.

Ngah Wanja berjaya mencipta gol pertama buat Kedah menerusi situasi sepakan percuma setelah hantaran dari sebelah kiri oleh Syazwan Zainon berjaya disambut Jang Sukwon sebelum disudahkan terus oleh penyerang dari Cameroon itu untuk meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-17.

Sarawak United yang pada mulanya beraksi dengan baik seolah kehilangan fokus dalam permainan apabila kerap kehilangan bola dan tidak dapat membentuk struktur pertahanan lebih berdisiplin.

Francis Kone hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan beliau dari dalam petak penalti Kedah berjaya diselamatkan oleh Shahril Shaari pada minit ke-24.

Situasi kelam kabut di bahagian pertahanan Kedah setelah beberapa kali pemain Sarawak United berjaya menghasilkan beberapa serangan balas pantas yang baik untuk mencemaskan para penyokong Sang Kenari.

Sarawak umpama mendapat motivasi yang tinggi untuk mencari gol penyamaan apabila lebih berani untuk mencipta beberapa gerakan serta lebih menekan kawasan pertahanan Kedah menerusi Uche Agba, Kone, dan Christie Jayaseelan.

Dennis Buschening hampir menambah gol kedua buat Kedah apabila larian deras beliau secara solo berjaya menewaskan dua pertahanan Sarawak sebelum rembatan beliau ditepis keluar oleh Sharbinee pada minit ke-35.

Tidak lama selepas itu, giliran pertahanan Kedah pula menjadi kelam kabut apabila tiba-tiba diasak oleh tuan rumah pada minit ke-37 namun sepakan Kone sedikit sahaja tersasar keluar melewati benteng gol pelawat.

Shahril Saari berjaya mempamerkan aksi yang menarik apabila menangkap kemas satu percubaan berbahaya menerusi sepakan percuma oleh Lee Chang Hoon pada minit ke-41.

Lee Chang Hoon sekali lagi memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol pertama buat tuan rumah, namun sepakan beliau dari luar kotak penalti sekali lagi tersasar keluar untuk menyelamatkan gawang Kedah pada penghujung separuh masa pertama.

Seawal separuh masa kedua menyaksikan Kedah terus memulakan aksi menyerang dengan percubaan berjaya dilepaskan oleh pemain gantian, Azmeer Aris sebelum diselamatkan oleh Sharbinee yang terus menangkap rembatan tersebut bagi menenangkan keadaan.

Pada minit ke-51, Chang Hoon gagal menyudahkan satu peluang terhidang dari luar petak penalti apabila rembatan deras beliau sekali lagi tersasar dari gawang pasukan pelawat.

Fadzrul Danel hampir menggembirakan kem Kedah pada minit ke-56 apabila beliau berjaya membuat satu percubaan dari luar kotak penalti sebelum bola sedikit tersasar keluar dari sebelah kiri.

Beberapa kali Ngah Wanja mendapat peluang untuk meledak gol peribadi beliau yang kedua, namun penyerang ini gagal memanfaatkan dalam bentuk gol termasuk satu tandukan hasil sepakan sudut yang menuju tepat kepada penjaga gol, Sharbinee.

Pasukan pelawat turut melakukan tiga lagi pertukaran pada minit ke-61 dengan memasukkan Fayadh Zulkifli, Amirul Hisyam, dan Al-Hafiz Harun bagi mempertajamkan lagi bahagian serangan.

Tuan rumah, Sarawak mempunyai masalah dari segi kreativiti dalam perlawanan ini apabila kerap kehilangan bola menerusi hantaran-hantaran yang mudah dibaca oleh pemain Kedah.

Perlawanan turut dihangatkan dengan beberapa insiden pergaduhan yang hampir tercetus menerusi pertembungan Syafiq Ahmad dan S. Chanturu serta perlanggaran antara Fayadh bersama penjaga gol, Sharbinee.

Tuan rumah cuba meningkatkan intensiti permainan tatkala Kedah cuba mengendurkan serangan, namun siri percubaan daripada tuan rumah tidak begitu memberi ancaman dan mudah dibaca oleh pertahanan pelawat untuk menyerap setiap asakan.

Wisel penamat dibunyikan dengan Kedah berjaya menewaskan lawan, Sarawak dengan keputusan penuh kekal 0-1 untuk memberi kegembiraan buat pengendali Sang Kenari, Aidil Sharin.

Perlawanan seterusnya bakal menjadi ujian getir sekali lagi buat Sarawak apabila bakal bertemu juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Takzim.

Manakala Kedah pula bakal bertembung dengan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City untuk misi mencari mata seterusnya buat pasukan ini.

Kesebelasan Utama Sarawak United

Mohd Sharbinee Allawee Ramli (Penjaga Gol)

Nur Shamie Iszuan Amin

Kone Kouassi Francis

Lee Changhoon

Stuart James Wilson Wark

Christie Jayaseelan Devasagayam

Uche Agba (Kapten)

Veenod Subramaniam

Mohammad Amer Saidin

Chanthuru Suppiah

Boris Kok

Kesebelasan Utama Kedah Darul Aman

Mohd Shahril Sha’ari (Penjaga Gol)

Rodney Celvin Akwesivie

Jang Sukwon

Dennis Buschening

Mohammad Amer Azahar

Wanja Ronald Ngah

Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam

Mohd Syazwan Zainon (Kapten)

Dechi Marcel N’Guessan

Muhammad Ariff Farhan Md Isa

Muhammad Syafiq Ahmad

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN