Selangor berjaya mencipta kebangkitan pada aksi Liga Super minggu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) setelah mengikat pasukan pelawat, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 1-1.
Pada aksi semalam, JDT berjaya memperoleh gol pertama mereka menerusi sepakan penalti yang diledak oleh Bergson da Silva sebelum penyerang Selangor iaitu Herlison Caion muncul sebagai wira untuk menyamakan kembali kedudukan.
KEPUTUSAN MASA PENUH – PERLAWANAN TERTUNDA LS16#LigaSuper2022 pic.twitter.com/reG96eXEkc
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2022
Aksi semalam juga menyaksikan JDT gagal untuk beraksi seperti kebiasaan apabila banyak kesilapan-kesilapan yang dibuat pasukan tersebut selain tidak kreatif di bahagian serangan.
Selepas lima minit permainan berlangsung, kedua pasukan dilihat masih lagi berhati-hati dalam menyusun gerakan dengan intensiti permainan agak perlahan dipamerkan.
JDT jelas setakat ini dilihat agak bermasalah untuk menyesuaikan diri dengan baik dalam permainan, setelah tidak banyak ancaman dapat dilakukan pasukan tersebut untuk memberi masalah buat pertahanan Selangor.
Selangor pula mereka setakat ini sudah pun menyesuaikan diri dengan baik, masalah mereka ketika ini dari sudut kreativiti, apabila tidak banyak lorongan-lorongan baik dilepaskan ke pemain serangan.
Sehingga 30 minit perlawanan berlangsung, kedua pasukan masih lagi buntu untuk mendapatkan sebarang gol dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
JDT akhirnya memperoleh penalti pada minit ke-30 selepas pemain serangan mereka iaitu Arif Aiman Hanapi dikasari pertahanan tuan rumah dalam petak penalti.
Penyerang import JDT, Bergson mudah menyudahkan peluang tersebut untuk meletakkan pelawat di hadapan dengan kedudukan semasa 1-0 pada minit ke-33 yang pastinya memberi kelegaan buat pengendali JDT, Hector Bidoglio.
33’ GOL | Bergson da Silva meletakkan JDT di hadapan dengan gol ke-21 peribadinya musim ini.@selangorfc 0-1 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/4cSkey2nHa
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2022
Bersambung di separuh masa kedua, tidak banyak dapat dibuat oleh tuan rumah dalam usaha mereka untuk mendapatkan kembali gol penyamaan.
Sebaliknya pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua ini dengan beberapa siri serangan berbahaya dilancarkan untuk memburu gol kedua mereka.
Herlison Caion berjaya mendapatkan jaringan penyamaan mereka pada minit ke-64 setelah ada kesilapan yang dibuat oleh barisan pertahanan pelawat yang membuka ruang buat Selangor memperoleh gol.
Menuju ke penghujung perlawanan, Selangor dilihat lebih menguasai permainan dengan beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta mereka untuk mencari gol pendahuluan.
64' GOL | Caion berjaya menyamakan kedudukan buat Selangor FC!@selangorfc 1-1 @OfficialJohor #LigaSuper2022 pic.twitter.com/URFwUySNja
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2022
Keputusan perlawanan kekal dengan Selangor berjaya mengikat JDT dengan keputusan 1-1 untuk memberi kelegaan buat Nidzam Jamil yang kini mengambil alih kejurulatihan kelab tersebut.
Kesebelasan utama
Selangor: Samuel Jacob Somerville (Penjaga gol), Quentin Cheng Jiun Ho, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Herlison Caion de Souza Ferreira, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Fazly Mazlan, Alexander Agyarkwa Ameyaw, Richmond Tetteh Ankrah, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Brendan Seng Ling Gan (Kapten)
Johor Darul Ta’zim (JDT): Muhammad Haziq Nadzli (Penjaga gol), Matthew Thomas Davies, Mohd Afiq Fazail, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Leandro Sebastian Velazquez, Shane Thomas Lowry, La’vere Lawrence Corbin-ong, Ignacio Insa Bohigues (Kapten), Shahrul Mohd Saad, Arif Aiman Mohd Hanapi, Fernando Martin Forestieri