Liga Super: Aksi Berkelas Tinggi Al-Mardi Berjaya Bantu Kedah Raih Kemenangan Atasi Sarawak United

Kedah Darul Aman (KDA) kembali berada di landasan sebenar mereka apabila berjaya meraih kemenangan yang dicari-cari setelah kelab tersebut menewaskan Sarawak United di Stadium Darul Aman (SDA) dengan keputusan 3-1.

Mahmoud Al-Mardi nyata menjadi wira buat KDA apabila pemain tersebut begitu cemerlang sepanjang perlawanan dengan meledak dua gol serta banyak menghidupka serangan tuan rumah.

Sarawak United pula dilihat agak sukar untuk mengimbangi kekuatan tuan rumah selain lebih banyak bergantung dalam situasi serangan balas untuk mencipta sesuatu.

Seawal lima minit permainan menyaksikan KDA berjaya mendominasi perlawanan dengan baik menerusi asakan dibuat ke kubu pelawat untuk mencari gol awal mereka di separuh masa pertama.

Pada minit ke-8, tuan rumah berjaya mendapatkan jaringan pertama mereka menerusi Al-Mardi yang berjaya melepaskan satu rembatan deras menuju ke dalam gawang gol Sarawak United, setelah beliau menerima hantaran cantik dari sebelah kanan menerusi Fayadh Zulkifli.

Gol tersebut juga merupakan jaringan pertama pemain kebangsaan Jordan itu musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), setelah sebelum itu Mahmoud cemerlang dalam saingan Piala AFC di Bali.

Tuan rumah jelas mendominasi perlawanan menerusi penguasaan penuh di bahagian tengah serta tidak membiarkan Sarawak United mengawal bola dengan tempoh masa agak lama.

Bersambung di separuh masa kedua, Sarawak United dilihat masih lagi bergelut untuk mengatasi tekanan yang diberikan oleh KDA bagi mencipta ruang dan mengimbangi tuan rumah di segenap posisi.

Namun kejutan tidak disangka apabila mereka berjaya juga untuk kembali menyamakan kedudukan setelah Uche Agba berjaya meledak gol menerusi situasi serangan balas pantas pada minit ke-53.

Sarawak United tampil dengan lebih baik selepas mereka berjaya memperoleh gol penyamaan sebelum itu untuk lebih kerap menyusup masuk menembusi pertahanan tuan rumah serta cuba mencabar di bahagian tengah.

Setelah bertungkus lumus mencipta gerakan, akhirnya Ronald Ngah berhasil meledak gol kedua buat KDA pada minit ke-75 setelah menerima umpanan cantik daripada Sanrawat untuk kembali meletakkan tuan rumah di hadapan.

Al-Mardi secara tidak semena-mena mengejutkan para penyokong Sang Kenari di stadium, setelah berjaya meledak gol yang sangat unik pada minit ke-80 dari luar kotak penalti apabila bola disangkakan merupakan bentuk hantaran, berjaya mengelirukan penjaga gol pelawat untuk terus menerjah gawang gol Sarawak United.

Keputusan perlawanan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan KDA mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Sarawak United di laman sendiri serta sekali gus memberi keyakinan kembali buat para penyokong setia Hijaukuning.

Kemenangan tersebut juga turut meletakkan KDA menduduki tangga keempat carta Liga Super 2022 untuk memintas Selangor dan Terengganu.

Kesebelasan utama

Kedah Darul Aman: Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Penjaga gol) (Kapten), Rodney Celvin Akwensivie, Mohammad Khairu Azrin Khazali, Mahmoud Nayef Ahmad Almardi, Mohamad Al Hafiz Harun, Mohd Loqman Hakim Marzuki, Mohamad Heshamudin Ahmad, Wanja Ronald Ngah, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Sanrawat Detchmitr

Sarawak United: Taufiq Ar Rasyid Johar (Penjaga gol), Raja Imran Shah Raja Amin, Abdul Rahman Ismawi, Kouassi Francis Kone, Stuart James Wilson Wark (Kapten), Nor Azizi Ramlee, Uche Agba, Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee, Chanthuru Suppiah, Gonzalo Manuel Soto, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN