Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi antara pasukan paling diberi tumpuan ketika ini, selepas mereka masih segar dengan kekalahan besar musim ini dalam aksi Liga Super di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tampil dengan aksi kurang menyakinkan pada perlawanan lalu, Kedah menjadi mangsa kritikan segelintir penyokong termasuk pemilik kelab itu sendiri, Tan Sri Dr. Daud Bakar yang kecewa dengan mutu permainan Sang Kenari.
Persiapan bagi perlawanan malam esok, sesi latihan di sebelah petang memastikan semua pemain bersedia dengan serangan padu!#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2023season #membinaimpianmengupayalegasi #LigaSuper2023 #LS9 #KDAKLC pic.twitter.com/SzdHkwgS2L
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 17, 2023
Bagi mengatasi kekecewaan tersebut, pastinya Nafuzi Zain mempunyai rencana tersendiri dalam memastikan Kedah kembali bangkit untuk mencatat keputusan positif dalam kedudukan semasa liga.
Aksi seterusnya mempertemukan Kedah bersama Kuala Lumpur City (KL City) yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, dalam misi Nafuzi untuk kembali memberi keyakinan buat para penyokong sebelum liga direhatkan seketika.
KL City yang setakat ini berada di tangga kelapan liga berada dalam momentum terbaik mereka untuk melakar tiga kemenangan berturut-turut termasuk aksi pusingan kedua Piala FA.
Sebelum itu, skuad kendalian Bojan Hodak dilihat bermula sedikit perlahan dengan mencatat dua kekalahan serta tiga kali seri sebelum melakar kejutan mengatasi Sabah serta mengetepikan cabaran Perak.
Menerusi beberapa rombakan pemain dibuat musim ini, Bojan dilihat mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan muka-muka baharu dalam percaturan taktikal dibuat.
Pemain bintang seperti Paulo Josue antara perlu diberi perhatian, selepas bintang naturalisasi itu sudah pun mencatat dua gol serta kerap terlibat dalam penghasilan jaringan buat pasukan.
Malah tahap persefahaman mereka di posisi tengah juga semakin baik ketika ini dengan kreativiti KL City untuk membuka peluang gol berada pada tahap memuaskan dan sudah pun dibuktikan ketika menentang Sabah.
Menerusi pertemuan tersebut, pastinya aspek pertahanan serta kreativiti di bahagian serangan menjadi antara perkara yang ditekankan oleh Nafuzi untuk melakar keputusan positif di laman sendiri.
Malah, penyerang Kedah iaitu Willian Lira pastinya menjadi tumpuan selepas ketajamannya di hadapan gol terus dipertikaikan pada musim ini.
Untuk rekod, Lira telah pun menghasilkan tiga gol keseluruhan musim ini dan terlibat dalam semua perlawanan bersama Kedah dalam aksi liga untuk kesebelasan utama.
🥊 HEAD TO HEAD KDA FC VS KL CITY FC!
Menjelang aksi #LS9 bagi pusingan pertama #LigaSuperMalaysia2023, keputusan bagi kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Sang Kenari akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan esok di Darul Aman! pic.twitter.com/8DS5HXZiAD
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 17, 2023
Pastinya ia akan menjadi detik terbaik buat Lira, jika penyerang ini berpeluang untuk meledak gol di laman sendiri pada aksi terakhir liga pada bulan Ramadan tahun 2023.