Penyerang berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin masih optimis dengan keupayaannya untuk bersaing hebat dengan pemain muda meskipun beliau bakal menjengah usia 40 tahun pada musim 2021.
Tetap komited untuk memberikan yang terbaik buat Kuala Lumpur, Indra juga memasang impian menggunung untuk bergelar penjaring terbanyak buat kelab tersebut dalam saingan Liga Super.
Anak kelahiran Ipoh itu hanya memerlukan 10 jaringan sahaja lagi untuk mengatasi bekas pemain import, Guilherme De Paula sebagai penjaring terbanyak Kuala Lumpur dalam kancah liga utama tanah air tersebut dengan 21 gol.
Selain itu, Indra turut meluahkan rasa terujanya dapat membantu Kuala Lumpur kembali beraksi dalam Liga Super selepas terjerumus ke saingan Liga Premier pada musim 2019.
“Saya masih lagi mampu bermain dan masih boleh bertanding dengan pemain muda,” ujar Indra menurut laporan dikeluarkan laman sesawang rasmi Kuala Lumpur FA.
”Dengan cara saya bermain, saya akan pastikan saya beri 100 peratus untuk pasukan dan cabar pemain-pemain muda yang ada.”
“Sebagai pemain, saya mahu pastikan dan cuba sebaik mungkin untuk dapatkan 10 gol itu untuk Kuala Lumpur.”
”Kalau kita nak sesuatu dan kita usahakan, kita pasti dapat. Sasaran ini bukan untuk diri saya, tetapi untuk pasukan. Itu lebih penting.”
“Tugas saya untuk membawa pasukan ke Liga Super adalah sangat manis dan saya rasa teruja untuk kembali beraksi di Liga Super. Sasaran saya nak menjaringkan gol dan saya mahu pasukan lain segan bertemu Kuala Lumpur,” tambah Indra Putra lagi.
Kredit featured image: Kuala Lumpur Hawks
Baca artikel lain dari kami mengenai Indra Putra Mahayuddin:
https://semuanyabola.com/berapa-kelab-inggeris-yang-pernah-dihadapi-oleh-indra/
Azmi Muslim: Komitmen Tinggi Jadikan Indra Putra Pemain Yang Istimewa