Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Berapa Kelab Inggeris Yang Pernah Dihadapi Oleh Indra Putra Mahayuddin?

Pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin merupakan antara pemain tempatan yang mempunyai karisma tersendiri dan masih mampu untuk beraksi hingga ke hari ini pada usia menjangkau 38 tahun.

Pemain kelahiran dari Ipoh itu juga telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang kariernya seperti memenangi kejuaraan Liga Perdana Satu buat dua tahun berturut-turut ketika bersama Perak, memenangi Piala FA juga dua tahun berturut-turut (Kelantan), Liga Super dan banyak lagi.

Pada musim ini, beliau mencatatkan rekod baru buat karier peribadinya selepas meledakkan jaringan ke-100 dalam saingan Liga Super.

Di peringkat antarabangsa juga tidak kurang hebatnya apabila pemain yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur itu juga seringkali menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan pada satu ketika.

Indra Putra juga pernah beberapa kali  beraksi bersama skuad kebangsaan untuk bertemu dengan beberapa pasukan di Liga Perdana Inggeris dan bekas pasukan yang pernah merasai kehangatan saingan liga tersebut, antaranya adalah:

1) Chelsea

Indra Putra

Kredit foto : Peter Lim/Getty Images)

Indra Putra telah beraksi dalam dua pertemuan bertemu Chelsea. Aksi pertama adalah pada FA Premier League (FAPL) Asia Cup 2003 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-1 memihak kepada Chelsea yang ketika itu dibimbing Claudio Ranieri. Hairuddin Omar berjaya menghasilkan jaringan tunggal buat skuad negara.

Perlawanan kedua buat Indra menentang Chelsea adalah pada 29 Julai 2008 yang menyaksikan Chelsea menang 2-0 menerusi jaringan dari Nicolas Anelka dan Ashley Cole di Stadium Shah Alam.

2) Manchester United

Kredit foto : Stanley Chou/ALLSPORT

Seperti Chelsea, Indra juga telah beraksi dalam dua perlawanan menentang Manchester United. Perlawanan pertama berlangsung pada 23 Julai 2001. Malaysia tewas 6-0 ditangan United menerusi jaringan dari Ruud Van Nistelrooy (2 gol), David Beckham, Andy Cole (2 gol) dan Luke Chadwick.

8 tahun kemudian, Indra berpeluang untuk sekali lagi beraksi bertemu United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Kredit foto : SAEED KHAN/AFP/Getty Images)

Perlawanan yang menyaksikan Amri Yahyah berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut. Satu daripadanya menerusi rembatan jarak jauh yang berjaya memerangkap Edwin Van Der Saar.

Wayne Rooney, Nani dan Micheal Owen masing-masing menghasilkan satu gol buat United untuk menang 3-2.

3) Birmingham City

Perlawanan ini merupakan aksi kedua Malaysia dalam FA Premier League (FAPL) Asia Cup 2003. Pada perlawanan tersebut, Malaysia tewas 4-0 ditangan Birmingham City.

4) Norwich City

Kredit foto : JIMIN LAI/AFP/Getty Images)

Norwich City hadir ke Malaysia sebagai sebahagian daripada latihan pra-musim bagi menghadapi Liga Perdana Inggeris musim 2005/05.

Indra beraksi pada perlawanan yang dihadiri hampir 32,000 penyokong di Stadium Bukit Jalil itu dan perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-0 memihak Norwich City menerusi jaringan Matt Svensson.

5) Liverpool

Indra beraksi bertemu Liverpool ketika bersama Felda United. Satu perlawanan pemanas badan diadakan di Stadium Bukit Jalil menjelang pertemuan kelab Merseyside itu menentang Pilihan Malaysia.

Walaupun bukan perlawanan rasmi dan sekadar sebagai medan pemanas badan, Liverpool tidak memberikan cabaran mudah apabila menewaskan Felda United 7-0 pada perlawanan tersebut.

6) Tottenham Hotspur

Kredit foto : Stanley Chou/Getty Images)

Indra Putra kembali dipilih untuk membarisi skuad Pilihan Malaysia pada tahun 2015 dan kali ini bagi menentang Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam.

Harry Kane berjaya menjaringkan dua gol buat pelawat manakala pemain import Felda United, Thiago Aquino (ketika itu bersama Perak) mencipta jaringan buat Pilihan Malaysia.

7) Queens Park Rangers

Indra juga pernah beraksi menentang Queens Park Rangers (QPR) pada 20 Julai 2012 di Stadium Shah Alam. Pada perlawanan tersebut QPR telah menewaskan Kelantan dengan keputusan 5-0.

Nota editor: Artikel asal ditulis pada 15 Oktober 2017, telah disunting dan diterbitkan kembali hari ini bersempena ulangtahun kelahiran Indra Putra yang ke-38.