Setelah tamat musim ini, Liga Perdana Inggeris (EPL) akan mengumumkan sama ada mereka akan melaksanakan atau tidak ‘winter break’.
‘Winter break’ sudah diamalkan di Jerman dan beberapa negara lain. Namun begitu, ada liga di Eropah tidak melaksanakannya kerana mereka amalkan kalendar Mac hingga Oktober.
Bila?
Menurut sumber BBC, cadangan tempoh ‘winter break’ ialah selama dua minggu. Difahamkan ia akan dijalankan pada minggu terakhir Januari 2020 hingga minggu pertama Februari 2020.
Kelab-kelab EPL dibenarkan untuk mengadakan kem latihan di luar negara jika mempunyai keperluan. Cuma mereka bebas untuk mengadakannya sama ada di Amerika Utara atau Timur Tengah.
Cadangan ini hampir menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) sudah bersetuju untuk mengadakan perlawanan pusingan kelima Piala FA pada pertengahan minggu.
Malah, mereka juga memansuhkan ‘replay’ untuk pusingan kelima Piala FA. Sebelum ini, mereka telah pun memansuhkan ‘replay’ bagi pusingan keenam / suku akhir untuk kejohanan itu.
Sekiranya, perlawanan pusingan kelima itu berakhir seri, perlawanan akan dilanjutkan ke masa tambahan. Sekiranya masih seri juga, ia akan ditentukan melalui sepakan penalti.
Menurut sumber lain menyebut, FA mengekalkan perlaksanaan ‘replay’ bagi pusingan ketiga dan keempat.
Sepakat
Idea mewujudkan ‘winter break’ ini sudah lama diperdebatkan. Ada yang menyokong disebabkan ia penting untuk momentum pemain yang keletihan kerana kepadatan aksi.
Ada juga yang tidak menyokong disebabkan ingin mengekalkan budaya turun-temurun.