Liga Perdana 2017: Perebutan Dua Slot Ke Liga Super 2018 Semakin Mendebarkan

Liga Perdana

Kempen Liga Perdana 2017 sudah memasuki fasa terakhirnya apabila hanya tinggal 3 perlawanan sahaja yang akan diharungi 12 pasukan yang bertanding.

Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC kini masih berpeluang untuk merebut dua slot ke Liga Super musim hadapan.

Setelah melalui ranjau 19 perlawanan liga, Kuala Lumpur kini sedang memimpin saingan dengan 41 mata yang dikumpul hanya berkelebihan defisit jaringan berbanding Terengganu yang turut mengutip jumlah mata yang sama dengan skuad warga kota itu.

Negeri Sembilan dan PKNP FC turut mengintai peluang bagi menafikan impian dua pasukan di tangga teratas apabila mencatatkan 38 dan 37 mata setakat ini.

Hari ini saingan liga kembali bersambung selepas berehat panjang setelah memberikan laluan buat skuad B-23 kebangsaan bersaing di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Berikut adalah reviu aksi yang melibatkan empat pasukan yang masih bersaing merebut dua slot ke Liga Super 2018:

1) MISC-MIFA lawan Terengganu (Stadium Proton, Tanjung Malim – 4.45 Petang)

Pertembungan yang boleh diibaratkan sebagai ‘langit dan bumi’ apabila MISC-MIFA yang sedang bergelut bagi mengekalkan pasukan mereka dalam saingan liga bakal berdepan Terengganu yang dalam kedudukan terbaik untuk kembali beraksi dalam Liga Super musim hadapan.

MIFA kini berada ditangga ke-11 sekadar mengumpul 10 mata sementara itu Terengganu ditempat kedua liga.

Gandingan Issey Nakajima Farran dan Tchetche Kipre bakal terus menjadi sandaran utama buat pasukan bimbingan jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim untuk mengukuhkan kedudukan menjadi diantara dua pasukan yang bakal layak ke Liga Super 2018.

Namun MIFA yang turut menyimpan misi untuk kekal di Liga Perdana musim hadapan dijangka tidak akan memberikan cabaran yang mudah buat Terengganu petang ini.

Ketajaman penyudah Bodric Dimitri Tagne Fogueing yang sudah menyumbangkan 12 gol buat MISC-MIFA tidak wajar dipandang mudah pemain Terengganu kerana permata ‘hitam’ itu mampu memberikan sesuatu buat pasukannya.

Pada perlawanan pusingan pertama, Terengganu berjaya menumpaskan MISC-MIFA di Kuala Terengganu dengan keputusan 2-1 hasil dua jaringan dari Lutfulla Turaev manakala jaringan lawan menerusi Michael Ijezie Chukwubunna.

2) UITM FC lawan Kuala Lumpur (Stadium UITM, Shah Alam – 9.00 Malam)

Kedua-dua pasukan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2017 namun tidak berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

UITM FC yang dibimbing Wan Mustaffa Wan Ismail telah melalui musim yang baik ketika ini dengan kejayaan melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia dan sedang menduduki tangga ke-6 liga dengan mengutip 30 mata.

Reputasi Kuala Lumpur selaku pendahulu liga dan juga berjaya menghasilkan jaringan terbanyak setakat ini dengan 42 jaringan sedikit sebanyak menghadirkan gerun buat UITM FC.

Bagaimanapun tuan rumah yang segar dengan kemenangan 5-3 keatas Melaka dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia pasti menjadikan kemenangan tersebut sebagai tonik berguna menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur.

Sudah pastinya tuan rumah tidak akan memberikan laluan yang mudah buat Kuala Lumpur pada malam ini.

Lebih signifikan mengenai perlawanan ini adalah persaingan awang import kedua-dua pasukan dalam merebut anugerah kasut emas apabila Guilherme De Paula dari Kuala Lumpur sedang mendahului dengan 22 jaringan manakala pemain UITM FC, Akanni Sunday Wasiu ditempat kedua dengan 14 gol.

Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 pada perlawanan pusingan pertama yang menyaksikan kedua-dua pemain tersebut masing-masing menjaringkan gol buat pasukan mereka.

3) PKNP FC lawan Negeri Sembilan (Stadium Perak, Ipoh – 9.00 Malam)

Aksi yang pastinya menjanjikan perlawanan menarik bakal dipamerkan tatkala kedua-dua pasukan masih berpeluang bagi merebut tempat untuk dinaikkan pangkat pada musim hadapan.

PKNP FC kini berada dalam ‘mood’ terbaik untuk mengekalkan aksi bertenaga setelah berjaya menundukkan pasukan dari Liga Super, Felda United dalam saingan suku akhir Piala Malaysia minggu lalu.

Kemenangan yang sememangnya melonjakkan keyakinan para pemain bimbingan Abu Bakar Fadzim.

Bagi Negeri Sembilan pula, khidmat Bruno Suzuki harus digunakan sepenuhnya bagi memperoleh mata penuh dalam kunjungan ke Ipoh ini.

Penjaring 11 gol dalam saingan liga buat pasukan tersebut bakal berdepan tugas berat bagi memecahkan kubu PKNP FC yang hanya tewas sekali di laman sendiri iaitu ketika bertemu JDT II.

Kelibat ayam tambatan PKNP FC, Shahrel Fikri yang meledak hatrik ketika bertemu Felda United di Jengka sudah pasti bakal menjadi tumpuan.

Musim ini, PKNP FC dan Negeri Sembilan sudah bertemu tiga kali dalam saingan Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Negeri Sembilan berjaya menewaskan PKNP FC pada perlawanan pusingan pertama Liga Perdana dengan keputusan 3-1 manakala PKNP pula menang dalam perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia (2-0). Kedua-dua pasukan kemudiannya seri tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia pada awal bulan September.

Perlawanan-perlawanan lain Liga Perdana 2017 yang berlangsung hari ini

1) PDRM FA lawan Kuantan FA (Stadium Hang Jebat, Melaka – 9.00 malam)

2) Sabah lawan Perlis (Stadium Likas, Kota Kinabalu – 8.15 malam)

3) JDT II lawan Angkatan Tentera Malaysia (Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang – 9.00 Malam)

Kredit foto: PKNP FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN