Liga Perancis Kini Terkenal Dengan Reputasi Penyokong Suka Bergaduh

Ligue 1

Selepas Paris Saint-Germain berjaya membawa masuk Lionel Messi musim ini, berita tersebut seharusnya membantu melonjakkan nama Ligue 1 ke persada dunia.

Tetapi malangnya, ia ditenggelamkan dengan berita tindakan ganas penyokong bola sepak. Dan ia bukan saja membabitkan pasukan-pasukan Ligue 1 tetapi pasukan liga bawahan Perancis.

Terbaru, insiden pergaduhan penyokong tercetus semasa perlawanan Coupe De France antara Olympique Lyon dengan Paris FC pada Jumaat lepas.

Penyokong bukan saja membaling objek termasuk suar ke padang. Malah, mereka juga cuba menceroboh padang walaupun dihalang pihak berkuasa.

Akibatnya, perlawanan tersebut dibatalkan pada rehat separuh masa atas alasan keselamatan.

Anda rasa mereka ada masa untuk sakit kepala?

Bagi Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), puluhan insiden sebegini sepanjang musim 2021-2022 sememangnya memeningkan kepala mereka.

Selain Lyon, kelab-kelab lain seperti Marseille, Angers, Lens dan Montpellier turut berdepan isu sama. Misalnya, pada Ogos lepas, perlawanan Marseille-Nice dicemari insiden pemain-pemain Marseille dibaling objek oleh penyokong.

NICE, FRANCE – AUGUST 22: Dimitri Payet of Olympique De Marseille throws an object back into the crowd that was intially thrown in his direction from OGC Nice South Curve during the Ligue 1 Uber Eats match between Nice and Marseille at Allianz Riviera Stadium on August 22, 2021 in Nice, France. (Photo by Jonathan Moscrop/Getty Images)

Akibatnya, Nice kemudiannya dikenakan hukuman pemotongan dua mata oleh FFF.

Untuk perlawanan Lyon-Paris FC, FFF mengambil keputusan drastik untuk menyingkirkan kedua-dua pasukan daripada Piala Perancis.

Selain itu, kedua-duanya turut dikenakan denda €50 ribu (Lyon) dan €10 ribu (Paris FC). Nice yang menjadi lawan pemenang dari aksi dua pasukan itu di pusingan seterusnya akan terus mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Paris FC perlu bermain di gelanggang sendiri tanpa kelibat penonton selama lima perlawanan. Sementara Lyon pula bernasib baik apabila mendapat penangguhan penggantungan daripada menyertai semua kejohanan piala domestik.

Begitupun, mereka dikenakan larangan membawa penyokong ke gelanggang lawan untuk baki musim ini.

Mencalar reputasi Perancis

Keganasan penyokong bola sepak yang terpapar sejak awal musim ini ternyata memalukan Perancis.

Malah, pada November lepas, Menteri Sukan Perancis Roxana Maracineanu memberi amaran sekiranya ini berterusan, ia bakal memberi impak ekonomi kepada semua pasukan terutama pendapatan penyiar perlawanan.

Senario yang dimaksudkan ialah penyiar seperti Canal+ dan beIN Sports akan menarik diri sebagai penyiar kejohanan.

Jika itu berlaku, maka kelompok minoriti ini secara tidak langsung membunuh pasukan mereka sendiri.

Cegah sebelum ia membarah

Lantaran pelbagai insiden yang tercetus musim ini, Perancis mengumumkan beberapa langkah untuk membendung perkara ini dari terus berlaku.

Pertama, perlawanan dibatalkan sekiranya pemain atau pengadil cedera terkena objek yang dibaling penyokong.

Kedua, keputusan membatalkan perlawanan dibuat dalam tempoh 30 minit selepas insiden berlaku.

Perancis juga bersetuju mengenakan penggantungan stadium yang lebih lama ke atas penyokong yang didapati bersalah.

Di sebalik langkah yang diumumkan sehari sebelum perlawanan Lyon-Paris FC, ia langsung tidak menggentarkan kelompok minoriti ini. Pada mereka, selagi tidak ditangkap atau cedera, selagi itu tingkah laku ganas ini akan diteruskan.

Police in the stands during the French Cup game between Paris FC and Olympique Lyonnais at Stade Charlety on December 17, 2021 in Paris, France. (Photo by Anthony Dibon/Icon Sport via Getty Images)

Tetapi pendirian hati kering penyokong bodoh ini mengakibatkan ramai peminat bola sepak dinafikan peluang menonton pasukan kegemaran mereka.

Dan dijangkakan, reaksi penyokong terhadap kumpulan samseng ini semakin keras menerusi pengumuman kerajaan seterusnya.

Pertama, botol plastik tidak akan dijual atau dibawa ke stadium sehingga musim panas tahun hadapan.

Kedua, pasukan-pasukan Ligue 1 dan Ligue 2 diarah menyatakan protokol keselamatan sekiranya wujud insiden objek dibaling ke padang bermula musim hadapan.

Namun begitu, penulis merasakan langkah sebegini tidak akan mencukupi lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya presiden Perancis pada April ini.

Misalnya semasa kempen calon pelampau berhaluan kanan Eric Zemmour, pergaduhan penyokong dan insiden baling kerusi tercetus. Dengan kempen terus berjalan sehingga April, usah terkejut kes keganasan yang dilaporkan termasuk di stadium akan meningkat.

Sekiranya lebih banyak insiden dilaporkan, FFF akan mengarahkan kelab yang bersalah bermain tanpa penyokong untuk tempoh tertentu seperti dialami Paris FC.

Sikap sesetengah penyokong yang tidak berakal ini bukan saja menafikan kehadiran pemain ke-12 yang menjadi tulang belakang sesebuah pasukan.

Malah, usah terkejut ia menjadi punca sesebuah kelab Perancis dilanda masalah kewangan atau lebih buruk iaitu dibubarkan.

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan pembaca kami bernama Mohamad Zaim menerusi emel. Jika anda berminat untuk menulis di Semuanya BOLA, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN