Liga Malaysia: Antara Realiti Atau Impian Segera Yang Menjadi Buruan

Liga kita hanya untuk pasukan kaya sahaja. Benarkah? Persoalan ini mungkin boleh diperdebatkan banyak pihak baik di peringkat FAM, persatuan negeri, pemain hatta penyokong bola sepak.

Apa yang menyebabkan bola sepak kita menjadi ‘mahal’ sedangkan aksi pasukan negara terus longlai di arena antarabangsa?

Jawapan persoalan ini hanya dimiliki oleh mereka yang berada di peringkat pengurusan sementara penyokong hanya mampu menjadi pemerhati dan mengkritik di laman sosial sambil mengharapkan ada sinar kembali buat skuad bola sepak negara.

Antara Dua Darjatkah?

Membaca kembali kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Anuar Musa berkenaan tindakan pemotongan 6 mata dari pasukannya akibat isu gaji yang belum terlunas, menimbulkan persoalan kepada saya.

Benarkah liga bola sepak negara kita kini hanya untuk pasukan yang kaya semata-mata? Dan tiada lagikah tempat untuk pasukan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk terus bersaing di liga negara kita kini?

Persoalan ini membuatkan saya menjenguk semula beberapa fakta yang pernah berlaku sebelum ini. Memang ada pasukan yang terpaksa bersaing dalam saingan liga dengan bajet menipis dalam kantung persatuan.

Akibat dari itu, pemain muda menjadi taruhan terbaik buat pasukan.

Mengimbau kembali sejarah, Perak, Kedah dan beberapa pasukan lain juga pernah menggunakan khidmat pemain muda dalam pasukan masing-masing bagi menghadapi saingan liga akibat pelbagai masalah dihadapi.

Meskipun hasilan daripada penggunaan pemain muda ini ada kalanya tidak memberangsangkan namun setidaknya platform untuk pemain muda bersaing dalam liga kompetitif negara dapat disediakan.

Hal ini serba sedikit turut mempunyai perkaitan dengan pembangunan akar umbi.

Bukankah itu yang sering dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin persatuan bola sepak di negara kita? Bahkan TMJ sendiri sejurus dilantik sebagai Presiden FAM turut meluahkan hal yang sama – pentingnya pembangunan akar umbi.

Persoalan timbul apabila bagaimana pemain yang dilahirkan melalui program pembangunan ini hendak diketengahkan?

Hal ini menjadi semakin rumit apabila majoriti pasukan yang bersaing dalam liga tempatan lebih teruja untuk mengejar pemain bintang sedangkan dalam pasukan sendiri mempunyai bakat yang boleh diketengahkan dan mungkin boleh menjadi sebaik pemain bintang sedia ada.

Di sinilah pasukan yang dilabelkan sebagai pasukan miskin oleh TSAM boleh mengambil peranan.

Namun begitu, satu lagi persoalan mungkin boleh ditimbulkan. Cukup bersabarkah peminat melihat kemungkinan menurunnya prestasi pasukan kesan dari penggunaan pemain muda ini?

Terdapat pelbagai reaksi yang pasti timbul dari jawapan untuk soalan tersebut. Pasti ada yang akan menerima hakikat skuad muda yang membarisi pasukan kesayangan masing-masing perlu masa untuk mendapatkan rentak dan memberi saingan kepada pasukan lain namun ada juga yang berpendapat sebaliknya.

Pelbagai insiden baik buruk yang timbul kesan dari hal ini.

Tak dapat dinafikan ada pasukan yang berjaya bangkit menjadi antara pasukan terbaik negara hanya dengan menggunakan pemain muda kelahiran mereka sendiri – Kedah contohnya.

Kedah merupakan pasukan yang pernah menempuhi zaman suram dalam sejarah bola sepak mereka sebelum bangkit seperti mana mereka kini.

Dari skuad yang menggunakan pemain muda semata-mata mereka kini berjaya menjadi antara pasukan paling digeruni dalam kancah bola sepak negara.

Projek 2013 yang dilancarkan setelah kejatuhan mereka sebelum itu berjaya dituai hasilnya kini apabila di kemuncaknya mereka berjaya menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Gambar: Kedah FA

Jika kita ingin melihat contoh yang dari luar negara, mungkin skuad Ajax Amsterdam musim ini boleh menjadi contoh terbaik.

Dengan menggunakan rata-rata pemain yang berumur di awal 20-an mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Europa League dan kini selangkah ke perlawanan akhir.

Jadi, timbulnya persoalan “Adakah liga kita ini hanya untuk pasukan kaya semata-mata sedangkan ada bukti pasukan yang boleh dilabel kurang berkemampuan juga turut berjaya mencipta kejayaan?”

Sengaja saya tidak sentuh isu gaji pemain masa kini yang semakin mahal kerana saya yakin anda lebih tahu dan arif tentang impak hal itu kepada skuad yang bersaing dalam liga tempatan Dan anda juga pasti tahu apa impaknya kepada aksi skuad negara.

Tuntutan Peminat vs Kemampuan Kewangan Persatuan

Tidak dapat dinafikan peminat bola sepak negara terdiri dari pelbagai kelompok.

Ada yang cukup sabar dan ada juga yang kurang sabar. Ada yang iri dengan kejayaan pasukan lain dan ada yang terus sabar menyokong sambil berharap kejayaan seperti mana yang dikecapi pasukan lain dapat dirasai pasukan mereka sendiri.

Gambar: Pahang FA

Namun sikap peminat ini wajar untuk dipertimbangkan. Hal Ini kerana mereka perlu berkorban wang ringgit untuk menonton setiap perlawanan melibatkan pasukan kesayangan masing-masing.

Dengan keadaan ekonomi masa kini, pastinya aksi menghiburkan yang ditagih peminat sebagai balasan ke atas pengorbanan yang dilakukan untuk berada di stadium.

Tapi harus diingat yang peminat lebih menantikan aksi bertenaga dan sekiranya ia berjaya dipamerkan pastinya mereka masih berpuas hati walau pun keputusan perlawanan tidak memihak kepada mereka.

Namun begitu, desakan dari segelintir peminat yang dahagakan kejayaan turut tidak dapat dinafikan mungkin ada.

Akibat dari itu, ditambah dengan keterujaan persatuan yang mahukan kejayaan segera untuk pasukan masing-masing menyebabkan ada persatuan yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan pemain berkualiti serta berprofil tinggi untuk pasukan mereka.

Hal yang dilakukan tanpa berfikir panjang tentang kemampuan masing-masing.

Mungkin mereka mengharapkan dengan adanya pemain bintang, prestasi pasukan dapat ditingkatkan seterusnya membawa penonton memenuhi stadium untuk setiap perlawanan.

Tetapi adakah itu yang sebenarnya terjadi saban perlawanan?

Hakikat bahawa bola sepak dimainkan sebagai satu pasukan sering kali dilupakan pengurusan bola sepak negeri.

Jika anda punya pemain berprofil tinggi tidak menjanjikan 100% kejayaan menjadi milik anda. Contohnya ada dalam dan luar negara.

Akibat mengejar kejayaan segara ini ada pasukan yang pernah mewarnai liga kini tiada lagi dalam radar.

Contoh terbaik adalah MPPJ, dulunya pasukan MPPJ pernah menjadi jagoan bola sepak negara.

Tetapi akibat belanja yang keterlaluan mendapatkan pemain bintang mereka kini tiada lagi dalam saingan bola sepak negara.

Hal yang sama juga menyebabkan ada pasukan yang menempa nama di peringkat antarabangsa dengan cara tersendiri.

Begitu juga dengan nama negara turut sama terpalit aib dek kerana kehendak meninggi bertentangan dengan hakikat sebenar dalam kantung kewangan yang kian hari kian menipis tanpa ada lebih usaha untuk menambah isi.

Adakah kejayaan segera yang dikejar serta ditagih peminat bola sepak negara? Hanya anda yang membaca artikel ini yang ada jawapannya.

Bagi saya biarlah kita berbelanja ikut kemampuan kita sendiri bukannya mengharapkan kejayaan segera yang akhirnya memakan diri.

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Nora Wahid. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Baca juga: FIFA Lancar Siasatan Terhadap Perpindahan Paul Pogba Ke Manchester United

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN