3 Tips Untuk Bina ‘Winning Team’ Menurut Buku ‘Leading’ Tulisan Sir Alex Ferguson

Sir Alex Ferguson.

Nama yang tidak asing dalam dunia bola sepak antarabangsa. Bekas pengurus lagenda ini sangat disanjungi bukan sahaja oleh peminat Manchester United, malah dihormati dan digeruni oleh seteru beliau.

Sepanjang 38 tahun menjadi pengurus bolasepak (26 tahun di Manchester United), beliau telah memenangi 49 kejuaraan. Ia termasuk kejayaan treble dramatik Manchester United pada tahun 1999 yang merangkumi Premier League, FA Cup dan UEFA Champions League.

Sejak persaraan karier beliau pada tahun 2013 yang diakhiri dengan gelaran liga, Sir Alex Ferguson telah melibatkan dirinya sebagai pengarah dan duta kelab Red Devils.

Selain itu beliau turut dipilih menjadi UEFA Coach Ambassador pada tahun 2014 dan pensyarah jemputan dalam bidang Pengurusan dan Perniagaan Sukan di Harvard University.

Artikel kali ini bukanlah untuk bercerita panjang tentang sejarah hidup Sir Alex Ferguson. Tetapi tentang tips-tips pengurusan kelab bola sepak yang dikongsikan olehnya melalui buku terbaru beliau bertajuk, “Leading” hasil tulisan bersama Ferguson dan Sir Michael Moritz (kanan, gambar bawah).

(Photo by John Phillips/Getty Images for TechCrunch)

Semoga 3 tips yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca terutamanya mana-mana pengurus dan jurulatih bolasepak tempatan.

1. Membina Dan Menetapkan ‘Standard’ Kelab Daripada Awal

Apabila Sir Alex Ferguson meninggalkan Aberdeen untuk menyertai Manchester United, United sedang mengalami kejatuhan merudum sejak era “The Busby Babes”. Ferguson merupakan pengurus ke-7 selepas 6 pengurus yang dilantik selepas Sir Matt Busby kesemuanya dianggap gagal.

Ferguson menyatakan bahawa untuk beliau menjadikan Manchester United sebagai kelab paling berjaya di dunia, langkah pertama yang perlu diambil ialah membina struktur dan falsafah kelab.

Ferguson menekankan aspek kualiti kejurulatihan, pembahagian tugas pengurusan kelab budaya dan mentaliti oleh sesiapa sahaja di kelab. Daripada pemain, penyokong sehinggalah ke pencuci lantai stadium.

Ferguson menekankan konsep “tiada siapa yang lebih besar daripada kelab” sebagai falsafah tunjang pengurusan beliau.

Ini memberi mesej yang senang untuk difahami oleh pemain dan juga penyokong. Setiap pemain dan penyokong berperanan memainkan fungsi sebagai pelengkap sebuah organisasi atau pasukan. Bukannya pemain bintang.

Struktur yang lemah dan pemahaman berbeza tentang sasaran kelab oleh ahli kelab dan pemain menjadi penyebab kejayaan sesebuah pasukan tidak berpanjangan. Dengan mengambil contoh Manchester United, Ferguson memastikan setiap pemain, ahli pengurusan kelab dan stadium duduk bersama-sama ketika waktu makan.

Selain itu beliau juga memberi kepercayaan kepada David Gill (gambar bawah), Ketua Pegawai Eksekutif kelab pada ketika itu untuk fokus kepada hal-ehwal kewangan dan penjenamaan pasukan. Sementara itu, beliau menguruskan hal di atas padang.

(Photo by Mike Egerton – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Dalam sesi latihan pula, Ferguson kebiasaannya membiarkan Rene Meulensteen dan jurulatih yang lain untuk mengepalai dan mengendalikan sesi tersebut. Ferguson hanya akan berdiri di tepi sambil memerhatikan sesi tersebut.

Struktur yang bagus juga bukanlah dapat ditetapkan dalam masa sehari atau sebulan atau setahun.

Selepas bersara, Ferguson masih tidak berpuas hati kerana merasakan masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan beliau untuk menyempurnakan struktur yang beliau terapkan sejak tahun 1986.

2. Membentuk Pasukan Yang Bagus, Bukan Mengumpul Individu Yang Bagus

Manchester United sememangnya terkenal dengan pemain berprofil tinggi dan popular. Namun, jika dibandingkan dengan ‘The Galacticos’ Real Madrid, pasukan Manchester United sepanjang kendalian Sir Alex Ferguson bukanlah pasukan yang dibarisi oleh 23 pemain berkelas dunia.

Memetik kata-kata beliau, pasukan yang bagus ialah pasukan yang memahami tugas masing-masing, mempunyai nilai dan semangat yang sama. Tidak semestinya kesemua 11 pemain di atas padang ialah pemain bertaraf dunia.

Beliau menggambarkan sukan bolasepak seperti permainan catur di mana hampir kesemua buah catur mempunyai fungsi yang berbeza namun bertujuan yang sama – mematikan king pihak lawan.

Jika kesemua pemain bermain seperti Cristiano Ronaldo, jangan terkejut pula Manchester United dibolosi 12 gol walaupun menjaringkan 11 gol.

Chemistry di antara pemain-pemain di atas padang boleh menjadi penentu kemenangan sesebuah pasukan. Oleh sebab itulah, Ferguson sangat menekankan latihan dan persediaan sebelum perlawanan.

(Photo credit should read PAUL ELLIS/AFP/Getty Images)

Bagi Ferguson, sesi latihan ialah penanda aras kesediaan pasukan dalam menghadapi perlawanan kerana di dalam perlawanan. Apa sahaja boleh berlaku seperti kecederaan, perasaan gugup dan lain-lain situasi yang di luar kawalan beliau.

Menurut pemerhatian beliau, kejayaan kebanyakan pasukan juara seperti Chelsea ketika dikendalikan Jose Mourinho, Juventus ketika dilatih Marcelo Lippi dan Barcelona ketika dipimpin Pep Guardiola, bergantung kepada tahap komitmen dan disiplin pemain mereka ketika sesi latihan.

Pasukan yang bagus juga bererti mempunyai pasukan jurulatih dan pengurusan yang bagus. Setiap jurulatih perlu memahami kehendak pengurus dan mengatur jadual latihan untuk mencapai objektif yang dikehendaki.

Ferguson juga terkenal sikap tegas. Beliau tidak pernah takut untuk menjual pemain yang mula menunjukkan sikap ego, hilang fokus dan tidak mampu mengekalkan prestasi dalam pasukan.

Contohnya Roy Keane selepas beliau mengkritik rakan sepasukannya secara langsung di MUTV. David Beckham juga pernah menjadi mangsa selepas terjebak dalam kehidupan selebriti. Ruud Van Nistelrooy pula dijual selepas bergaduh dan mengejek Cristiano Ronaldo.

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Semua keputusan jual beli olehnya adalah demi kebaikan pasukan. Bukan individu semata-mata.

Falsafah ini begitu utuh sehinggakan semua pemain dan ahli pengurusan kelab faham bahawa peluang untuk menyertai Manchester United bukanlah satu status automatik. Sebaliknya ia hasil titik peluh yang dicurahkan untuk pasukan.

3. Mendengar, Memerhati dan Membaca.

Tips yang mudah namun sering diperlekehkan oleh kebanyakan peminat dan pemain bola sepak.

“Tuhan memberikan kita dua telinga, dua mata dan satu mulut sahaja kerana Tuhan mahu kita mendengar dan memerhati lebih daripada bercakap.”

Tajam namun padat. Inilah topik pertama Ferguson dalam buku beliau. Ia menunjukkan betapa pentingnya aspek pembetulan diri bukan sahaja kepada pengurus, tetapi juga kepada pemain.

Tidak hairanlah Ferguson mampu membentuk pasukan juara yang berbeza personaliti, kualiti dan gaya permainan untuk 26 tahun lamanya sehingga dicemburui lawannya.

Ferguson menceritakan pengalaman beliau mendengar kata-kata nasihat oleh rakan-rakan sejawat beliau seperti Harry Redknapp, Roy Hodgson dan Jock Stein (gambar bawah) terutamanya dalam menganalisa permainan pihak lawan.

(Photo by Peter Robinson/EMPICS via Getty Images)

Sifat kebapaan beliau juga dikatakan terserlah melalui sikap sabar beliau dalam mendengar pendapat dan luahan perasaan pemain-pemainnya terutamanya David Beckham, Eric Cantona, Cristiano Ronaldo dan Rio Ferdinand.

Malah, beliau mula mengenali nama Cristiano Ronaldo apabila dipujuk John O’Shea dan Rio Ferdinand serta Carlo Queiroz untuk membeli bakat muda Sporting Lisbon itu.

Selain itu, Ferguson juga terkenal dengan sikapnya yang sangat teliti dalam pemerhatian beliau.

Baginya, skil pemerhatian merupakan skil yang paling penting dalam pengurusan kerana sebagai seorang ketua, anda perlu bijak menganalisa pemerhatian anda untuk membuat kesimpulan yang tepat dan pantas tanpa sikap pilih kasih.

Sir Alex pernah menggugurkan David Beckham daripada kesebelasan utama pada saat-saat akhir sebelum perlawanan kerana beliau melihat David mengurut-urut kakinya seperti kesakitan walaupun David dikatakan cergas.

(Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)

Ferguson juga kadangkala mengadakan lawatan ke kelab-kelab lain samada ketika perlawanan atau ketika sesi latihan untuk meningkatkan ilmu beliau.

Ferguson sangat mencemburui sistem akademi Barcelona dan sistem kedutaan Bayern Munich (bekas pemain menjadi duta global mempromosikan kelab) sehingga beliau cuba untuk meniru sistem-sistem kelab tersebut untuk diterapkan dalam organisasi Manchester United.

Membaca pula ialah aspek pembelajaran yang tidak dipandang pemain. Kata orang ramai, bolasepak dimainkan menggunakan kaki dan badan, bukan seperti menjawab peperiksaan. Jika anda peminat Andrea Pirlo, sudah tentu anda ingat kata-kata emas beliau.

“Kaki kita hanyalah alat, bolasepak sebenar dimainkan menggunakan otak”

Ferguson membongkarkan rahsia Henrikh Mkhitaryan di Borussia Dortmund di mana beliau mengalami masalah menyesuaikan diri di kelab Jerman itu sebaik berpindah masuk. Namun beliau kemudiannya menjadi pemain penting pasukan itu selepas diberikan buku “The Inner Game of Tennis” oleh Thomas Tuchel.

Itu hanyalah contoh kecil kesan pembacaan buku ke arah meningkatkan prestasi pengurus dan pemain.

Sir Alex Ferguson sendiri mengaku beliau tidak mempunyai rekod yang sempurna. Bahkan menyebut Pep Guardiola, Jock Stein, Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti sebagai pengurus yang lebih hebat jika tidak setaraf beliau.

Bapa kepada Darren Ferguson (bekas pemain Manchester United dan pengurus Peterborough United) yang berumur 75 tahun masih aktif menyaksikan pasukan kesayangannya di stadium dan menimba ilmu pengurusan.

Diharapkan 3 tips ini boleh menjadi pemangkin kepada semua pengurus, jurulatih dan pemain bolasepak tempatan untuk membentuk ‘Winning Team’ mereka sendiri yang mampu mencatat sejarah pada masa hadapan.

Sesebuah empayar tidak dapat dibina dalam satu hari, namun setiap kejayaan bersama bermula daripada langkah-langkah kecil.

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Izzat bin Mohamad Salihuddin, penyokong tegar Manchester United yang menggemari buku ‘Leading’ tulisan bersama Sir Alex Ferguson dan Michael Moritz.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN