Pertandingan Liga M3 telah dibatalkan pada tahun ini menjadikan ia pertandingan bola sepak kelima dibatalkan pada tahun ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui satu kenyataan pada hari ini.
“AFL pada dasarnya ingin meneruskan pertandingan dengan pilihan untuk menganjurkannya secara gelembung sukan bermula November 2021 dan telah membentangkan kertas kerja kepada semua pasukan,” ujar Mohd Yusoff Mahadi dalam kenyataan tersebut.
SIARAN MEDIA: AFL BATAL PENGANJURAN LIGA M3 2021
Amateur Football League (AFL) pada hari ini mengumumkan pembatalan pertandingan anjurannya iaitu Liga M3 2021.
Baca berita penuh di sini ▶️https://t.co/UDv5sAgGiA pic.twitter.com/GDDQlFGKgV
— Amateur Football League (@MY_AFL) September 14, 2021
“Namun begitu, pembatalan diputuskan setelah mengambil kira segala faktor termasuk hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan.
“Majoriti pasukan turut bersetuju agar Liga M3 2021 ini dibatalkan dan mengalihkan fokus sepenuhnya kepada Liga M3 2022,” kata Pengerusi AFL itu lagi.
Sebelum ini FAM turut dikritik kerana membatalkan pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden yang dianggap satu-satunya medan membentuk pemain muda.
Pembatalan tersebut bermakna sudah dua tahun pertandingan tersebut diadakan. Turut tidak diadakan pada tahun ini ialah Liga Futsal Kebangsaan (MPFL), dan pertandingan Piala FA – sekaligus menjadikan pertandingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran sebagai pertandingan domestik yang diadakan pada tahun ini.
Dalam perkembangan lain, pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) semalam mendedahkan punca sebenar pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden musim ini dibatalkan.
Dalam satu rancangan temu bual Bola Mamak terbita Astro Arena bersama hos Hafizal Hamad dan Asmawi Bakiri, TMJ mendedahkan pembatalan dua pertandingan tersebut sebenarnya bukan berpunca daripada FAM, tetapi merupakan permintaan khas pasukan disebabkan kekangan kewangan.
Selepas pembatalannya, Liga M3 2022 dirancang untuk membuka tirainya seawal Februari tahun hadapan dan AFL akan mengekalkan penyertaan kesemua Pasukan yang telah disahkan penyertaannya bagi Liga M3 2021.