Quantcast

BERITA

Liga Juara-Juara Afrika: Esperance Bangkit Tewaskan Al Ahly Bagi Menjulang Trofi Edisi 2018

Minggu lalu, perlawanan akhir pertama Liga Juara-Juara Afrika berlangsung dalam suasana hangat. Tiga gol dijaringkan melalui sepakan penalti dan begitu banyak kad kuning dilayangkan.

Perlawanan pertama di Mesir itu berakhir dengan keputusan memihak kepada Al Ahly, sekaligus memberikan kelebihan agregat dengan 3-1 ke atas Esperance.

Balas balik

Kali ini, giliran Esperance menjadi tuan rumah. Kelab Tunisia itu bermain di hadapan puluhan ribu penyokong yang hadir di Stade Olympique de Radès, Tunisia.

Saad Bguir menjaringkan gol pertama perlawanan untuk Esperance pada masa kecederaan separuh masa pertama. Beliau kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-54 perlawanan.

Sebenarnya Saad Bguir sebelum ini telah disisihkan sepanjang musim ini. Namun, pemain tengah menyerang itu dimasukkan ke perlawanan ini kerana penggantungan Franck Kom.

Al Ahly tempang tanpa kehadiran Walid Azaro kerana digantung oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF). Walid digantung dua perlawanan kerana sengaja mengoyakkan jersi sendiri semasa perlawanan pertama minggu lalu.

Tumbang

Pengurusan Esperance menjulang trofi. Sumber: Facebook Esperance.

Anice Badri menjadi hero untuk Esperance apabila menjaringkan gol ketiga perlawanan tersebut setelah menemui sentuhan penyudah pada minit ke-86 perlawanan.

Al Ahly pula gagal menemui sebarang gol untuk aksi di Tunisia, menjadikan perlawanan berkesudahan tiga gol tanpa balas.

Selepas perlawanan tersebut, agregat memihak kepada Esperance dengan kedudukan 4-3. Kelebihan Al Ahly ranap dan mereka terlepas kejuaraan tersebut.

Nampaknya para pemain Al Ahly terpaksa melupakan malam yang tidak menyebelahi mereka.

Tiket ke Piala Kelab Dunia

Kejayaan Esperance dalam Liga Juara-Juara Afrika akan memberikan mereka tiket untuk beraksi di Piala Kelab Dunia. Kejohanan ini bakal dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Disember nanti. 

Esperance bakal menghadapi pemenang perlawanan antara Team Wellington (juara OFC Champions League) dengan Al Ain (juara UAE Pro-League). Mereka beraksi dalam kejohanan ini untuk kali kedua selepas kemunculan sulung pada 2011.

Esperance juga bakal bertemu juara CAF Confederation Cup untuk merebut CAF Super Cup.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!