Pasukan manakah yang akan mewakili Afrika dalam saingan Piala Kelab Dunia 2017 sudah pun terjawab apabila kelab Maghribi, Wydad Casablanca berjaya menewaskan Al-Ahly dari Mesir secara agregat 2-1 bagi meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Afrika 2017.
Dalam perlawanan pertama di Mesir, Wydad mengikat Al-Ahly 1-1. Al-Ahly mendahului seawal minit ke-3 melalui gol Moamen Zakaria.
Wydad kemudiannya menyamakan kedudukan dalam perlawanan tersebut pada minit ke-16. Gol Wydad disumbangkan oleh Achraf Bencharki.
Aksi timbal balik
Dalam aksi kedua di Stade Mohamed V di Maghribi, Wydad menurunkan hampir kesemua pemain yang bermain perlawanan pertama. Begitu juga dengan Al-Ahly.
Wydad menghasilkan gol menerusi pemain tengah, Walid El Karti. Gol tersebut dijaringkan pada minit ke-18. Gol tunggal perlawanan kedua itu cukup memadai untuk meraih kejuaraan berprestij Afrika itu.
Kemenangan ini berharga buat Wydad kerana mereka kali terakhir memenanginya pada 25 tahun yang lalu. Pada ketika itu, mereka menewaskan Al-Hilal dari Sudan.
Perjalanan Wydad
Mereka akan beraksi dalam saingan African Super Cup. Lawan mereka ialah juara CAF Confederation Cup tahun ini.
Perlawanan akhir Confederation Cup akan dilangsungkan antara TP Mazembe (DR Congo) menentang SuperSport United (Afrika Selatan).
Wydad membuat penampilan sulung dalam Piala Kelab Dunia. Lawan mereka ialah Pachuca, kelab Mexico yang membawa panji CONCACAF.