Liga IPT 2018: UMK Ketepikan Cabaran HELP University Untuk Mara Ke Final Divisyen 2

Apabila pengadil membunyikan wisel penamat, ketua jurulatih Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Anizan Daud melutut kesyukuran. Staf-staf pasukan dan pemain-pemain beliau meluru masuk untuk meraikan kemenangan UMK dalam perlawanan separuh akhir Liga IPT 2018 Divisyen 2 yang diheret sehingga ke penentuan penalti oleh HELP University.

“Syukur kepada Allah SWT kerana usaha keras dan keringat kami membuahkan kejayaan. Kredit kepada HELP University yang mempamerkan persembahan cemerlang pagi ini,” luah Anizan. Rakan sejawatannya di HELP University, P. Ganesan sekadar mampu terduduk dan termenung jauh. “Kita mungkin kalah. Tapi sebenarnya pemain saya sudah memberikan persembahan 100% yang membanggakan,” jawab Ganesan ketika ditanya apa yang sedang bermain di fikiran beliau.

Ketua jurulatih HELP University, P. Ganesan memerhatikan anak buahnya memanas badan sebelum menentang UMK dalam perlawanan separuh akhir Divisyen 2 Liga IPT 2018.

Apa yang dikatakan Ganesan itu benar. Jika tandukan Sharran Raj pada separuh masa kedua berjaya masuk ke gawang gol, bukannya sekadar singgah di palang gol, skrip perlawanan mungkin berbeza. HELP University mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi penyudah yang tumpul mengecewakan mereka.

Begitu juga dengan UMK. Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol HELP University dan ketumpulan penyudah 3 penyerang dalam sistem 4-3-3 mereka, UMK sudah boleh menghalang HELP University daripada mengheret mereka bermain sehingga ke penentuan penalti. “Kita akui jentera serangan kita agak tumpul hari ini. Itulah bola sepak. Ada hari masuk, ada hari tak masuk,” kata Anizan.

Ketua jurulatih UMK, Anizan Daud memberikan team-talk kepada pasukannya ketika aksi separuh akhir Divisyen 2 Liga IPT 2018.

UMK dan HELP University sudah melakukan segala-galanya untuk memperbetulkan keadaan tersebut. Anizan menukar posisi kaptennya sebanyak 3 kali sepanjang 120 minit perlawanan dalam usaha untuk mendapatkan gol. Ganesan pula memasukkan Sharran Raj – pemain tinggi lampai yang biasanya bermain sebagai pertahanan tengah – sebagai penyerang bidan terjun untuk tujuan sama.

Tetapi seperti kata bekas pemain kebangsaan, Ahmad Fahri Saarani: “Kalau bola itu tak nak masuk, dia takkan masuk juga, bang.”

UMK memulakan perlawanan dengan baik berbanding HELP University yang jelas nampak tidak selesa bermain di padang rumput. Jika tidak kerana keteguhan Aritz Zainal melindungi 4 pertahanannya di belakang, HELP University mungkin berdepan dengan lebih banyak masalah.

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga 120 minit masa permainan. Apabila masuk ke penentuan penalti, Sharran Raj dan seorang rakan sepasukannya gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing, sekaligus memberikan kemenangan 4-2 kepada UMK.

Dalam aksi final Divisyen 2 yang bakal berlangsung pada Ahad nanti, UMK akan bertemu Universiti Utara Malaysia (UUM), yang juga menang penentuan penalti ke atas Universiti Tenaga Nasional, UNITEN selepas terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan. Dengan layaknya ke final, UMK dan UUM bakal bermain dalam Divisyen 1 tahun hadapan.

Keputusan Penuh Perlawanan Liga Bola Sepak IPT 2018 Separuh Akhir (Divisyen…

Posted by Liga Bola Sepak IPT on Thursday, October 25, 2018

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN