Arsenal berjaya menamatkan rentetan kekalahan yang dihadapi apabila menang 2-0 pada peringkat 16 terbaik Liga Europa ketika bertemu AC Milan di San Siro awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Arsene Wenger itu mengenepikan tanggapan awal banyak pihak bahawa kelab dari London itu akan menjadi mangsa AC Milan yang semakin mempamerkan kebangkitan sejak akhir-akhir ini.
Dua gol Arsenal hadir pada babak pertama menerusi Henrikh Mkhitaryan dan Aaron Ramsey untuk membawa bekalan menjelang pertemuan kedua di Stadium Emirates pada 16 Mac nanti.
Gol yang dijaringkan oleh Mkhitaryan itu juga adalah merupakan jaringan sulung pemain antarabangsa Armenia tersebut buat kelab baru yang disertainya pada penghujung Januari lalu.
Berpunca daripada hantaran cantik dari Mesut Ozil, Mkhitaryan melepasi kawalan dilakukan Davide Calabria untuk meledakkan rembatan menarik yang gagal dihalang Gianluigi Donnarumma bagi memberikan jaringan pendahuluan buat Arsenal pada minit ke-15.
Walaupun berusaha untuk mengasak ke kubu Arsenal, serangan yang dilakukan oleh tuan rumah, penyudah pemain AC Milan dilihat kurang berkesan apabila sering tersasar.
Sebaliknya serangan yang dicipta Arsenal lebih membuatkan Donnarumma bekerja keras untuk menghalang gawangnya dari terus dibolosi.
Ketika perlawanan babak pertama semakin menghampiri penghujung, Aaron Ramsey melebarkan kedudukan selepas menerima satu lagi lorongan cantik dari Mesut Ozil untuk memperdayakan penjaga gol berusia 19 tahun itu.
Anak buah Gennaro Gattuso cuba untuk bangkit pada babak kedua dengan gerakan-gerakan yang dicipta.
Namun masalah penyudah yang kurang berkesan terus menghantui skuad muda tersebut untuk perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 memihak Arsenal.